MALAYSIA melakar sejarah tersendiri apabila merangkul 59 pingat, dengan 38 daripadanya pingat emas, dalam 'Pertandingan Seni Persembahan Dunia 2009 (WCPA)' yang diadakan di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 11 Julai hingga Ahad lepas.
Kenyataan akhbar Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di sini semalam menyebut Kumpulan Artistana dipilih sebagai Juara Dunia bagi kategori tarian dan memenangi Anugerah Emas peringkat akhir kategori etnik dan kebudayaan rakyat, lagu dan tarian, lirik dan terbuka.
Menurut kenyataan itu pencapaian 38 pingat emas meliputi bidang nyanyian, tarian, peragaan dan muzik itu, melebihi 30 pingat yang disasarkan Malaysia.
"Kejayaan ini membuktikan di mata dunia khususnya di Hollywood bahawa keupayaan dan kredibiliti artis Malaysia dalam bidang seni setaraf dengan peringkat antarabangsa, dan kejayaan ini juga adalah hasil daripada kehebatan para peserta yang dipilih melalui program pertandingan 'Worldstars Road to Hollywood'," menurut kenyataan itu.
Kesemua 22 peserta negara berusia antara 18 dan 30 tahun itu dilatih secara intensif bagi memantapkan lagi mutu persembahan mereka untuk bertanding dengan 27 negara lain.
Penyanyi Siti Sarah Raissudin memenangi Anugerah Emas peringkat akhir kategori vokal terbuka dan kategori duet dengan Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob AF2.
Dua peragawati dan peragawan Siti Nurizana, Dilla Syahirah dan Wilson Tan memenangi kategori kasual.
Bagi peringkat kategori sebanyak 31 pingat emas dimenangi di peringkat juara dunia termasuk Siti Sarah yang memenangi dua pingat emas bagi kategori "World Music" dan R&B/Jazz, Bob empat pingat emas (kategori kontemporari, pop, World Music dan terbuka, serta berduet dalam kategori terbuka dengan Norhasmidar Ahmad yang turut memenangi pingat emas kategori R&B/Jazz.
Raja Farah Raja Ikram, yang memenangi kategori kontemporari turut dijemput pihak penganjur untuk menjadi penyanyi undangan, satu pengiktirafan terhadap bakat dan potensi cemerlang beliau.
Bagi kategori muzik, Tuku'Kame memenangi pingat emas dalam empat kategori iaitu karya asli klasikal, kontemporari dan terbuka manakala Jerry Kamit dalam tiga kategori iaitu karya asli, klasikal, kontemporari dan terbuka.
Untuk kategori peragaan tiga pingat emas disumbangkan oleh Siti Nurizana dan Dilla Syahirah untuk pakaian formal, dan Putri Mardiana untuk kategori terbuka
kredit:mstar
0 comments:
Post a Comment