Rita mahu Rayyan jadi ‘kawan’ kala susah, senang

Rita, 33, baru sahaja menikmati kehidupan baru bersama bayi sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang dilahirkan pada 8 Julai lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Jelas isteri kepada Aidil Zafuan Abd. Radzak ini, dia inginkan ‘permata hatinya’ itu menjadi ‘kawan’nya dikala susah mahupun senang.

“Saya nak jadikan Rayyan sebagai kawan baik saya supaya apa-apa masalah boleh beritahu dia. Kalau boleh saya tak nak ada jurang dengannya.

“Kami boleh berkongsi masalah dan bercakap sebagai seorang kawan.

Diikutkan, Rayyan telah lama berkongsi cerita dengan ibunya itu memandangkan Rita berkata dia selalu bercakap dengan kandungannya selama mengalami tekanan dan berasa sedih.

“Semasa mengandung, saya cepat susah hati dan tidak lalu makan jika merasa tertekan. Saya selalu bercakap dengan ‘baby’ dan tolong jadi kuat untuk ‘mummy’.

“Kadangkala saya takut jika kandungan gugur atau ‘baby’ meninggal akibat tekanan.

“Saya mintanya bertahan sehingga dilahirkan. Selepas itu, saya cakap terima kasih kerana membuatkan saya kuat dan dapat melahirkannya dengan mudah.

“Alhamdulillah, saya mendapat ‘baby’ yang tak menyusahkan saya,” ujarnya yang seakan-akan merindui saat mengandungkan Airit selama sembilan bulan.

Tambah Rita, setelah sudah mempunyai anak sekarang, dia tidak mahu mempedulikan hal lain melainkan tumpuan kepada Rayyan.

“Lepas Rayyan lahir, saya dah cakap kat dia, lepas ni apa pun terjadi ‘mummy’ (saya) tak nak peduli apa pun..saya hanya mahu menjaga anak yang lebih penting dan baru nak mulakan hidupnya,” janjinya yang mahu menjaga Rayyan dengan sebaiknya.

Rita juga tidak kisah seandainya Rayyan mahu mengikut jejaknya dalam bidang seni atau sukan bola sepak seperti bapanya.

Selepas melahirkan Rayyan, ibu dan bapa mertuanya, Azizah Arshat, 56, dan Abd. Radzak Salleh, 59, turut menziarahi dia dan anaknya.

Ditanya tentang hubungannya dengan mertua dan keluarga Aidil sekarang, Rita bagaimanapun enggan menjawabnya.

“Saya tak nak cakap dan bercerita tentang hal itu,” tuturnya ringkas.

“Saya dah tak kisah apa yang akan berlaku selepas ini kerana hati saya dah kering.

“Kasihan kat budak (Rayyan). Masa saya mengandung, saya rasa bersalah kerana memberikan tekanan emosi kepadanya.

“Apabila dia lahir, saya cakap kepadanya inilah anak ‘mummy’ yang kuat. Bila saya lihat muka dia sahaja, mesti saya akan mengalirkan air mata,” ujar Rita yang cuba mengumpul semangat untuk membesarkan anaknya selepas ini.

Menceritakan tentang wajah bayinya itu, Rita berkata sekarang ini ramai yang mengatakan Rayyan mirip wajah Aidil tetapi dalam masa yang sama dia berharap agar Rayyan mengikut wajahnya.

Sepanjang berpantang ini, Rita akan berada di rumah keluarganya di Perlis dan akan meraikan majlis cukur jambul di sana.

“Insya-Allah, kami akan membuat kenduri besar semasa majlis cukur jambul itu nanti,” ujarnya yang menganggap Rayyan adalah ‘rezeki’ yang muncul tiga bulan selepas dia dan Aidil berkahwin.

Rita juga menegaskan dia tidak akan mencari nama yang tiada makna untuk anaknya di mana nama Rayyan dipilih olehnya iaitu Airit merupakan nama gabungan Aidil dan Rita manakala Rayyan bermaksud ‘salah satu jalan ke syurga’ dan Rizqin adalah rezeki.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment