Adibah Noor naik angin bila ibu bapa dicaci



SEBELUM ini, artis terkenal versatil Adibah Noor tidak ambil kisah tentang cacian dan maki-hamun daripada orang yang tidak dikenali mahupun mereka yang dikenali.

Adibah beranggapan itu adalah harga yang perlu dibayar oleh seorang penyanyi, pelakon, pengacara dan lain-lain.

Bagaimanapun, kesabarannya teruji apabila ibu bapanya turut menjadi mangsa cacian menerusi komen sebuah laman blog baru-baru ini.

Semuanya gara-gara Adibah terlibat dalam program realiti Mentor terbitan TV3. Dia merupakan mentor kepada protegenya, Thye.

Bila kesabaran teruji, Adibah telah bersemuka dengan pengendali blog tersebut dalam satu programnya.

"Saya berani pergi menghentam dia sebab tak puas dengan pelbagai perkara yang dikendalikan dalam blog dia. Mungkin kerana kita ini berani tentang dia...dan dia jadi sakit hatilah.," katanya ketika menghadiri rakaman khas 'Mentor Raya' di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, Khamis lalu (27 Ogos 2009).

Menurut Adibah, apabila hati blogger itu menjadi sakit, benda itu menular menjadi barah. "Ia perlu dirawat secepat mungkin sebelum ia menjadi mudarat yang hancurkan diri sendiri," katanya.

Pemenang Anugerah Juara Lagu 2006 (kategori balada) menerusi album 'Terlalu Istimewa' ini memberitahu komen-komen tersebut meremukkan hatinya.

"Walaupun dia hina saya, tak apa, tak kisah, tapi saya agak hampa dan kecewa seorang yang terpelajar macam dia boleh mengutuk sampai ke mak bapa saya.

"You bacakan blog itu? Sampaikan mak bapa saya diajarnya supaya tidak melahirkan anak-anak haram seperti saya. Itu perkataan dia, bukan perkataan saya. You baca, memang ada kat situ.

"Mula-mula dia suruh emak bapa saya ajar saya supaya tidak jadi kurang ajar. Lepas itu pula dia ajar emak bapa saya supaya .... tidak lahirkan anak-anak haram....macam saya," ujar Adibah yang berlakon dalam filem Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2007), Buli Balik dan Talentime (2009) arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Walaupun kesedihan terpendam di lubuk hatinya, Adibah tetap menyimpan sekelumit belas kasihan terhadap individu tersebut.

Katanya, dia percaya individu terbabit memerlukan rawatan segera ekoran sakit yang begitu tenat.

"Malah saya doakannya agar dia cepat sembuh. Daripada kita kutuk dia balik yang tidak ada jalan penyelesaiannya, lebih baik kita galakkan dia cari jalan untuk merawat hati dia.

"Saya rasa dia memerlukan bantuan. Dia mungkin perlu jumpa ustaz untuk rawat hatinya yang terlalu sakit. Saya bukan cakap 'klise', tapi macam tak percaya orang macam dia boleh mengeluarkan bahasa 'out of this world'. Bahasa sekesat-kesat, maki hamun," kata Adibah.

"Saya tidak kisah tapi hampalah sebab dia sering melaungkan dia seorang graduan, seorang yang gah. Namun kenapa sampai nak mengeluarkan bahasa-bahasa sebegitu...Kutuk biarlah kutuk saya seorang. Janganlah sampai kepada emak bapak kita," jelas Adibah yang berharap dapat mengeluarkan album kedua sebelum akhir tahun ini.

Album kedua Adibah itu akan mengekalkan format album pertamanya, 'Terlalu Istimewa' (Disember 2005) yang mencampuradukkan pelbagai genre seperti joget, R&B, jazz dan lain-lain kecuali dangdut dan etno.

Ditanya bagaimana dia tahu tentang komen blog tersebut, Adibah memberitahu, para peminatnya yang memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Bila peminat beritahu, mereka suruh baca blog tersebut. Saya kata tak payah bacalah, 'it's okay'... saya tak ambil hati...

"Bila kata tak nak baca, mereka pergi 'cut and paste' dalam emel saya dan blog saya... Nak tak nak, saya bacalah untuk memuaskan hati mereka," ujar Adibah yang terus terguris hati.

Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, Adibah masih tidak percaya komen-komen dihamburkan oleh seorang kenalannya.

"Sedih sebab tak masuk akal," katanya yang sebelum ini turut menerima ejekan sedemikian rupa daripada orang yang tidak dikenalinya.

"Sejujurnya, saya pun dah cuba nak jauhkan diri daripadanya....dan iyalah... mungkin cara itulah dia menghiburkan diri.. Tapi yang kita tak suka, kita jauhkan diri," tambah Adibah.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment