Noorkhiriah Teruja Menanti Anak Pertama


Seperti ramai wanita yang bakal bergelar ibu buat pertama kalinya, Noorkhiriah tidak sabar menanti kelahiran anak sulungnya pada November ini.

"Tak dapat saya gambarkan perasaan seronok itu. Malah bila kami mendapat pengesahan dari doktor, kami terlalu teruja sampai tak terkata. Ia anugerah yang tak ternilai," katanya.

Sejak disahkan hamil, pelakon berusia 33 tahun ini yang pernah mengalami keguguran dua tahun lalu, lebih berhati-hati dalam menjaga kandungannya. Ini termasuk mengurangkan aktiviti penggambaran. Namun bagi peminat yang rindu melihat lakonannya, Noorkhiriah bakal tampil di pawagam melalui filem terbarunya, 'Papadom' pada 8 Oktober ini.

Bercerita pengalaman mengandung anaknya, dia memberitahu seperti kebanyakan wanita mengandung, dia juga mengalami alahan pada tiga bulan pertama walaupun ia tidaklah seteruk mana. Pada bulan keempat, alahan itu makin berkurangan.

Dan seperti ramai wanita mengandung, dia tidak terkecuali dari mengidam. Antara makanan yang diidamkan seperti peria goreng, gulai tempoyak dan sayur maman. Nasib baik ibunya ada untuk melayan permintaannya.

"Ada-lah dalam tiga bulan saya kuat mengidam. Suami (Azfaidzul Antan) pun cukup memahami. Beritahu saja apa saya nak, dia carikan. Tapi kesian juga kat dia. Penat dia kerja. Sebab itu saya banyak menghabiskan masa di kampung. Tak perlulah dia terlalu bimbang keadaan saya.

"Bagus juga saya tinggal bersama mak kerana dari hujung kepala ke hujung kaki, dia jaga, dari mandi herba, memberi petua seperti jangan tidur sampai pukul 10, 11 pagi, tuala jangan lilit di leher, jangan garu perut ...."

Kini, dalam bulan ketujuhnya, Noorkhiriah memberitahu kandungannya semakin ligat bergerak. Tidak kisah apa jantina anaknya, katanya yang sudah tiga tahun mendirikan rumahtangga, "Mendapat kurniaan ini, kami sudah bersyukur atas rahmat-Nya."

Bakal berpantang di Raub, Pahang, kongsinya, jikalau boleh, ingin ditambah dua orang lagi cahaya mata sebelum dia mencapai usia 40 tahun.

"Tapi kalau cukup seorang je anak, saya redha. Semua ini dibawah kuasa Tuhan," katanya yang pernah terfikir untuk mengambil anak angkat jika gagal mengandung lagi.

kredit:gua.com.my

0 comments:

Post a Comment