'Jangan pisahkan cinta kami'




TIBA waktunya mereka akan disatukan juga. Biar apapun dugaan yang mendatang, hati Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad, 26, terhadap kekasihnya, Irma Hasmie Ibrahim, 27, tidak akan tergugat.

Bukan tiada yang cuba 'cucuk jarum' untuk memusnahkan ikatan yang terjalin, malah lebih itu, ada yang iri hati melihat kebahagiaan yang dikecapi pasangan merpati dua sejoli itu, tetapi cinta mereka tetap utuh. Tiada yang mampu memisahkan hati mereka, melainkan maut menjemput.

Malah jika ditakdirkan jodoh mereka tiba awal, Nabil dan Irma sudah bersedia melayari bahtera hidup sebagai suami isteri. Mereka kini sedang berusaha mempercepatkan hari bersejarah jika diizinkan Tuhan.

Secara jujur, Irma akui: "Saya sedar tak semua orang merestui hubungan saya dengan Nabil, malah ada yang cuba menyebarkan cerita bukan-bukan untuk memisahkan kami. Ada kalanya saya tak tertahan dengan tohmahan yang ditabur, saya dikatakan menjalinkan hubungan intim dengan pengarah itu, penerbit ini. Bagaimanapun, mujurlah Nabil tidak cepat melatah, dia juga tidak mudah mempercayai cakap-cakap orang tanpa melihat dengan mata kepala sendiri.

"Saya hairan apabila saya berbaik dengan mana-mana pengarah atau penerbit mula timbul cerita saya menjalinkan hubungan sulit dengan mereka, sedangkan saya berbaik dengan mereka disebabkan urusan kerja, bukan ada skandal. Dan seharusnya seorang pelakon berbaik dengan pengarah atau penerbit untuk masa depan kerjayanya.

"Bagaimanapun, saya dan Nabil berfikiran terbuka dalam banyak perkara dan apa pun tindakan yang diambil perlulah rasional, bukan mengikut kata hati. Alhamdullilah, sehingga hari ini, apapun ujian yang cuba menggoncangkan hubungan, kami belum lagi tergugat. Nabil kenal hati budi saya, begitu juga saya mengenali Nabil secara mendalam."

Pelakon drama Lima dan Awan Dania itu mengakui ada juga yang cuba menggoda, tetapi jangan kata nak layan, dipandang pun tidak kerana hatinya hanya ada pada Nabil seorang.

Sambil menjeling kekasihnya itu, Irma akui: "Prinsip saya mudah, jika tidak dilayan, kecurangan tidak akan berlaku. Bak kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, jadi saya tak berminat nak melayan lelaki-lelaki yang cuba menggugat hubungan saya dengan Nabil. Pokok pangkal diri sendiri.

"Saya sedar hubungan yang belum ada ikatan sah tidak lepas daripada dugaan, lebih lagi saya bercinta dengan seorang terkenal seperti Nabil tetapi saya yakin jika pandai mengemudi sebuah kapal, sudah tentu akan tiba ke dasarnya walaupun ada kalanya kapal dipukul ribut dan gelombang."

kredit: bharian

0 comments:

Post a Comment