PENGACARA popular, Azwan Ali memang sudah sinonim dengan mulut 'laser' setiap kali berbicara. Malah dia juga sering dihimpit dengan pelbagai kontroversi yang membuatkan dirinya sentiasa dipandang negatif oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, Azwan yang baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah mengakui, dia dapat merasakan perubahan terhadap dirinya dan seboleh mungkin, dia tidak lagi mahu ada pihak yang ingin menyamakan Azwan Aliyang dahulu dan sekarang.
"Alhamdulillah, setelah saya selamat mengerjakan umrah, saya dapat rasakan ada perubahan pada diri saya dan moga-moga ini adalah Azwan Ali yang baru.
"Saya juga berharap supaya masyarakat dan juga orang-orang industri hiburan tidak lagi menyamakan Azwan Ali yang dahulu dan sekarang.
"Inya-Allah, saya berharap selepas ini jika masih ada pihak yang ingin memfitnah atau gosipkan saya, saya akan maafkan mereka awal-awal... malah saya akan terima dengan senyuman dan redha sahaja," kata Azwanketika dihubungi mStar Online.
Kata Azwan lagi, dia amat bersyukur ketika berada di hadapan Kaabah, dia dapat menyebut nama-nama musuhnya dengan jelas dan berulang kali.
"Saya bersyukur sangat apabila nama-nama yang saya anggap musuh saya, iaitu 10 orang wartawan yang pernah saya maki-hamun, saya dapat sebut dengan terang dan jelas berulang kali di hadapan Kaabah.
"Tapi tujuan saya sebut nama mereka bukanlah nak minta Tuhan turunkan bala kepada mereka. Sebaliknya saya minta Tuhan ampunkan dosa saya dan juga dosa mereka.
"Saya pun bukanlah nak bermusuh selama-lamanya, jadi dengan cara ini saya minta Tuhan boleh beri petunjuk kepada kami," jelasnya.
Ditanya mengenai pengalamannya ketika mengerjakan umrah pada 7 September sehingga 24 September lalu, Azwan mengatakan ia adalah satu perjalanan yang mengasyikkan dan satu nikmat yang tidak terhingga buatdirinya.
"Saya telah berada di sana selama 18 hari 16 malam, di mana lima hari saya berada di Madinah dan selebihnya di Kota Mekah.
"Saya merasa nikmat sangat kerana tidak ada berlaku sebarang musibah terhadap diri saya walaupun saya sering dicop dengan pelbagai gosip liar.
"Tetapi apabila saya sampai di sana saya rasa semua yang positif terhadap diri saya dan saya yakin semua itu adalah rezeki dari Allah s.w.t terhadap Azwan Ali," kata Azwan
Menurut Azwan juga kejayaannya mengerjakan umrah adalah di atas berkat doa peminat-peminatnya dan juga rakan-rakan artis yang sering menyokongnya.
"Saya telah mendapat banyak doa restu dari ribuan peminat saya dan juga rakan-rakan artis yang sentiasa menyokong saya.
"Saya berterima kasih sangat kepada Aznil Hj Nawawi, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Amy Search, dan Rosyam Nor kerana banyak menyokong dan mendoakan saya.
"Saya tidak sangka walaupun saya dilanda dengan pelbagai kontroversi, tetapi masih ramai yang sayangkan saya," jelasnya.
kredit:mstar
mari masak...
14 years ago
0 comments:
Post a Comment