Saya masih siuman


“Sebagai umat Islam, saya tidak akan sama sekali melakukan tindakan paling bodoh iaitu membunuh diri hanya kerana masalah hidup. Saya masih siuman,” kata penyanyi Farawahida Razali, 24, menafikan khabar angin kononnya dia mencabut nyawa sendiri akibat tekanan emosi.

Dia yang dihubungi Harian Metro semalam terkejut dan tidak menyangka berita palsu terbabit boleh tersebar dan akhirnya sampai ke pengetahuannya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui berita palsu itu selepas beberapa rakan menghubungi selain menghantar SMS bertanya kesahihan khabar angin berkenaan.

“Saya yang masih hidup dan segar bugar pastinya terkejut dan tidak menyangka khabar angin itu boleh tersebar luas.

Farawahida berkata, dia kini dalam keadaan sihat di samping keluarga, apatah lagi dengan ketibaan Syawal yang amat dinanti-nantikan.

“Ketika berita itu diketahui, saya dan keluarga sedang bersiap-siap untuk berhari raya di rumah saudara-mara di Beruas, Perak.

“Apa yang saya tahu, khabar angin itu mendakwa saya membunuh diri gara-gara kontroversi yang melanda sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti motif sebenar individu yang menyebarkan khabar angin berkenaan, namun dapat mengagak siapa dalang yang bertanggungjawab melakukan kerja nakal itu.

“Sebagai umat Islam, saya menyedari mati membunuh diri perbuatan yang tidak diampunkan dosanya. Pastinya saya langsung tidak terlintas untuk melakukan perbuatan berkenaan.

“Lagipun saya kini gembira dengan kehidupan bersama keluarga selepas kemelut yang melanda sebelum ini kian reda,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri kerana ia membuktikan masih ramai rakan dan saudara-mara mengambil berat terhadapnya berdasarkan panggilan telefon yang diterima sehingga dia tidak menang tangan.

“Saya terharu dan berterima kasih terhadap sokongan mereka yang tidak putus-putus memberi dorongan dan semangat agar terus gigih mengharungi apa jua cabaran mendatang,” katanya.

kredit:hmetro

0 comments:

Post a Comment