Maut buru pencuri


“Di jangan Di, bahaya, nanti jatuh,” laung beberapa penduduk yang menyaksikan saat cemas ketika adik pelakon Rusdi Ramli, Edi Rizal, 33, berpaut pada balkoni di tingkat tujuh pangsapuri dengan sebelah tangan memegang kayu hoki.

Bagaimanapun, kebimbangan mereka menjadi nyata apabila melihat anak ketiga pelakon Norlia Ghani itu jatuh selepas pautannya di dinding balkoni itu terlepas.

“Kami yang berada di bawah pangsapuri menjerit supaya dia tidak cuba memasuki rumah yang disyaki ada pencuri di dalamnya, tetapi dia tetap mahu cuba memberkas pencuri terbabit,” kata saksi Faisal Rizal, 35.

Menurut Faisal, beberapa penduduk mendakwa melihat kelibat individu yang mencurigakan kira-kira jam 12 tengah hari cuba memecah masuk rumah penghuni Pangsa Murni Titiwangsa Keramat Jaya 2, Jalan Gurney, Keramat yang kosong kerana masih di kampung sempena Aidilfitri.

“Kami beramai-ramai keluar mengepung suspek yang dipercayai berada di sebuah rumah di tingkat tujuh, ada antara kami yang berada di tingkat berkenaan dan ada yang menunggu di bawah,” katanya.

Namun, Edi cuba memasuki rumah di tingkat tujuh terbabit bagi memeriksa sama ada penjenayah berada di rumah berkenaan atau tidak.

“Segalanya berlaku begitu pantas, malah ketika pautan tangan Edi terlepas, kami sempat melihatnya terjuntai beberapa ketika sebelum jatuh dan terkena bumbung sisi sebuah rumah di bawah sebelum terjatuh di kaki lima,” katanya.

Faisal berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaannya sangat parah dan terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk mendapatkan bantuan.

Seorang lagi penghuni, Jamaluddin Ahmad, 58, yang turut dalam kumpulan penduduk untuk mengesan pencuri terbabit tidak menyangka niat baik Edi untuk membanteras penjenayah berakhir dengan tragedi.

“Saya terkejut melihat kejadian itu dan tidak menyangka Edi menemui ajalnya ketika cuba memberkas pencuri, jelas niatnya murni, namun Tuhan lebih menyayanginya,” katanya.

kredit:hmetro

0 comments:

Post a Comment