DUIT raya pasti menjadi agenda pertama yang difikirkan oleh kanak-kanak namun berlainan dengan pelakon Shafimie Saedon atau Fimie, 11, yang sudah tidak dapat mengumpul banyak duit raya gara-gara bergelar seorang pelakon.
“Ramai bapa dan ibu saudara saya yang sudah tidak memberi duit raya kepada saya sebab mereka kata saya berlakon dah banyak dapat duit. Jadi, mula umur saya 9 tahun, saya dah tak dapat banyak duit saya.
“Tahun lepas pun saya mendapat kurang dari RM100. Duit-duit tu termasuk duit lakonan, saya akan simpan atau beri kepada mama dan papa.
“Selain itu, saya gunakan duit itu untuk membeli barang keperluan sekolah dan pakaian. Untuk baju raya saya beli sendiri dalam dua hingga tiga pasang,” kata pelakon utama siri ‘Hikayat Putera Shazlan’ dan ‘Bong’ yang bijak berkata-kata ini.
Bercerita mengenai rayanya, Fimie berkata dia beraya di empat tempat iaitu Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah, Perlis dan Bidor, Perak.
“Raya tahun ni saya ‘free’ berbanding tahun lepas sebab terlibat dengan program ‘Nasi Lemak Kopi O’,” ujarnya yang mula berlakon sejak berusia 5 tahun.
Fimie berkata dia menceburi industri lakonan menerusi drama yang disiarkan di RTM dan telah berlakon lebih 30 buah drama, tiga buah filem dan 50 buah iklan seperti drama ‘Kudrat’, ‘Ramadan ke-30’, ‘Mencari Sinar Lailatulqadar’, ‘Malam Tujuh Likur’, filem ‘Magika’, ‘Aman’ dan ‘Seram’.
“Iklan pertama yang saya lakonkan adalah iklan untuk JPJ ‘Tengok kiri tengok kanan’ sewaktu berusia 6 tahun.
“Semasa mula-mula berlakon dulu, saya rasa seronok tetapi sekarang dah penat sehingga kadangkala saya rasa tak nak berlakon lagi sebab tiada masa untuk diri-sendiri,” luahnya yang sudah pandai membaca buku sewaktu berusia 4 tahun.
Fimie bukan sahaja tampak bijak menerusi lakonannya malah dia juga pernah menerima anugerah pelajar cemerlang ketika berusia 8 dan 9 tahun.
Di sekolah, Fimie merupakan seorang pelajar yang aktif dan banyak bertanya kepada guru tentang pelajarannya.
Apabila dewasa anak bongsu daripada tiga beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang atau arkitek.
Namun, dia juga menyimpan hasrat untuk bergelar pengarah secara kebetulan dirinya telah menceburi bidang lakonan.
“Saya ada banyak cita-cita. Saya nak jadi pengarah sebab ia lebih mencabar daripada berlakon kerana saya suka melakukan perkara yang aktif dan mencabar.
“Jadi, saya nak ikuti aktiviti lasak dalam program PLKN,” ujarnya yang mengaku kaki bangku dan meminati sukan badminton serta nyanyian.
Adik kepada pelakon siri 'Kisah Kaisara', 'Cuit-Cuit Sayang' dan 'Hikayat Putera Shazlan', Shafinie, 18, ini berkata dia ingin mengikuti jejak langkah pengarah Prof Dr Hatta Azad Khan dan Edry KRU.
“Dalam banyak-banyak artis, saya lebih suka memilih pengacara Aziz Desa sebagai idola kerana saya suka cara dia menulis sajak,” tutur Fimie yang turut terlibat dalam beberapa program raya.
Antaranya adalah 'Ketupat Rendang Kopi O' yang disiarkan di TV9, 'Kuih Goyang Seha' (TV3), 'Rumah Kembar 4' (RTM) dan 'Gabra' (RTM).
kredit:mstar
0 comments:
Post a Comment