KD bercerai, Siti tersentuh


PERCERAIAN diva termasyhur Indonesia, Krisdayanti atau KD dan Anang Hermansyah bukan sahaja mengejutkan peminat serantau, bahkan yang paling terkesan dengan berita itu ialah rakan baik KD, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Penyanyi berusia 30 tahun itu yang dihubungi Kosmo! pertengahan minggu lalu, awalnya memohon sedikit ruang untuk menilai sendiri cerita perceraian KD memandangkan dia belum mendapat kepastian daripada tuan empunya badan.

Selang beberapa hari kemudian, Siti mula ada keyakinan untuk mengulas tentang insiden yang menimpa KD sekali gus berkongsi perasaan dan emosinya tentang isu panas di media Malaysia dan Indonesia itu.

Siti memberitahu dia hanya membuat komen setelah dia mendapatkan kepastian daripada KD sendiri mengenai kebenaran cerita cerai itu.

Sebagai insan biasa yang sarat naluri kewanitaan, ada duka yang menyelubungi dirinya apabila bercakap lebih jauh tentang perihal itu.

“Terus terang, Siti bersimpati dengan apa yang mereka lalui. Inilah namanya kehidupan. Ada dugaan yang didatangkan dalam keadaan baik dan tidak terkecuali dugaan juga muncul dalam keadaan sebaliknya.

“Ia barangkali disebabkan kesalahan yang kita sendiri lakukan sebelum ini, ataupun itu petanda Allah memang sayangkan kita sebagai hamba-Nya. Inilah takdir kehidupan manusia,” kata Siti dalam nada cukup berhati-hati, mungkin tidak mahu disalahtafsirkan apatah lagi di saat KD dan Anang baru saja membawa haluan sendiri.

“Selepas mendengar berita Siti terus bertanyakan kepada KD tentang kesahihan kisah perceraiannya dengan Anang. Bahkan Siti menasihatkan dia agar banyak beristighfar apabila berdepan dengan perkara berkenaan.

“Tidak lama kemudian, KD membalas SMS Siti sambil mengucapkan terima kasih kerana mengambil berat tentang dirinya. KD juga pasrah lalu menjelaskan kejadian itu merupakan dugaan yang perlu dilaluinya. Memanglah Siti dan KD rapat sejak dia mula muncul dengan album Menghitung Hari beberapa tahun lalu.

menurut Siti, meskipun bersahabat baik masih ada hal tertentu yang tidak mereka kongsikan, termasuklah urusan yang terlalu peribadi.

“Hal rumah tangga terlalu peribadi untuk dikongsikan. Malah KD sendiri tidak pernah banyak bicara tentang masalah dengan Anang. Siti sendiri dapat tahu berita perceraian mereka menerusi teman-teman media sebab itu Siti terkejut bila tahu cerai itu betul-betul berlaku.

“Sehingga ke saat ini Siti belum terfikir untuk menghubungi KD. Biarlah keadaan reda sedikit dan Siti menghormati dirinya yang ada kemungkinan mahu bersendirian tanpa diganggu oleh sesiapa,” jelas Siti.

Bagi Siti, dia tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak dalam kehancuran pernikahan KD, apatah lagi sebagai orang luar manusia tidak sepenuhnya faham badai rumah tangga orang lain.

Siti juga enggan memberi sebarang komen tentang perselingkuhan yang dikatakan menjadi punca kenapa Anang menceraikan KD dengan talak tiga sekali gus.

Ternyata, seperti diduga, Siti mengelak daripada berhujah tentang kisah bermain kayu tiga yang menyebabkan meletusnya ‘bom’ dalam mahligai KD dan Anang. Ia begitu sensitif, takut menjadi aib sekali gus merosakkan ikatan persahabatannya dengan KD dan Anang selama ini.

“Jujurnya, Siti tidak tahu-menahu apa yang terjadi kepada perhubungan mereka. Soal wujudnya insan ketiga atau tidak, kita sendiri tidak tahu kebenarannya. Oleh itu kita jangan terlalu cepat menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak.

“Apa yang berlaku, apa yang membuatkan KD dan Anang jadi begitu dan begini, kita sebagai orang luar tidak boleh membuat andaian sendiri. Saya cuma boleh katakan agar KD dan Anang tabah mengharungi rintangan getir ini. Memanglah ia pahit untuk ditelan, namun ini semua sudah ditakdirkan oleh Yang Maha Kuasa, jodoh mereka sampai disitu saja.

“Harapan Siti agar mereka dapat menguatkan diri serta meneruskan kehidupan kerana setiap yang berlaku ini merupakan ujian daripada Allah yang selalu mengingatkan hamba-Nya,”

Bukan saja Siti yang terkejut, malah dia memberitahu, suami yang dinikahinya pada 21 Ogos 2006, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa juga ‘tergamam’ seketika apabila mendapat berita itu.

kredit:kosmo

0 comments:

Post a Comment