Johan-Ozlyn bakal timang cahaya mata


PERKAHWINAN pasangan Johan Raja Lawak dan pelakon Ozlyn Wati pada 25 Julai lalu kini pastinya lebih gembira setelah Ozlyn disahkan mengandung dua bulan.

Johan yang hadir ditemani Ozlyn pada sesi santai Raja Lawak bersama media yang berlangsung di restoran Marche Movenpick, The Curve semalam mengatakan dia menyedari isterinya mengandung setelah Ozlyn mengadu sakit perut dan muntah-muntah

"Saya tak ingat bila yang pertama kali saya bawa dia (Ozlyn) berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan, tetapi saya menyedarinya setelah dia mengadu pada saya dia selalu sakit perut dan muntah-muntah.

"Bila kami pergi berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengandung dan perasaan saya sangat gembira hingga tak terkata apa-apa," katanya.

Menurut Johan juga, isterinya tidak mengalami sebarang masalah untuk mengidam makan sesuatu ketika mengandung, sebaliknya dia yang mengalami masalah tersebut apabila kerap mengidam makan makanan yang manis.

"Dia tidak mengalami sebarang masalah mengidam walaupun dia yang mengandung, cuma kadang-kadang tu adalah... tapi tidak begitu serius.

"Yang peliknya, saya yang menghadapi masalah tersebut apabila sekarang saya kerap mengidam makan makanan yang manis.

"Sedangkan sebelum ini saya bukan suka sangat makanan manis, tapi sejak dia mengandung, saya asyik nak makan kek, ais krim dan semua makanan manis sampai saya rasa berat badanpun dah naik," jelas bekas peserta Raja Lawak musim pertama ini.

Johan juga mengatakan dia tidak membuat sebarang persediaan bagi dirinya yang pertama kali akan menjadi seorang bapa, sebaliknya lebih menumpukan persediaan untuk menanti kelahiran anaknya itu.

"Pada saya tidak ada sebarang persediaan yang perlu saya lakukan pada diri saya walaupun ini pertama kali bakal bergelar bapa.

"Saya ingin lebih menumpukan persediaan terhadap anak saya itu nanti seperti membeli barangan bayi dan berbagai lagi.

"Selain itu, jika nanti saya sibuk dengan tugasan, saya akan tetap bawa Ozlyn bersama saya jika dia larat untuk ikut saya, jika tidak saya akan bawa dia tinggal bersama ibu saya untuk menjaganya," jelas Johan yang mahukan anak kembar.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment