KISAH percintaan artis jelita, Scha Al-Yahya dan Fahrin Ahmad terus menjadi perhatian media dan masyarakat apabila khabar angin mengatakan hubungan itu sudah berakhir bertiup kencang baru-baru ini
Tiada lagi lagu mesra, tiada lagi dansa gembira. Yang tinggal hanya cebisan memori indah hampir setahun menyulam bait-bait cinta.
Susulan perkhabaran mengejutkan itu, timbul pula persoalan adakah mereka akan meneruskan tugas memacu kehangatan pentas Sehati Berdansa musim ketiga yang bakal menggegarkan Astro Ria bermula 24 Oktober ini dan mampukah mereka mencipta keserasian andai kasih tiada lagi di hati?
Ketika perkara ini diajukan kepada empunya badan, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir melepaskan keluhan kecil disusuli bicara yang tenang.
“Berat untuk saya ulas perkara ini kerana banyak hati perlu dijaga. Namun sampai bila perlu mengelak kerana lambat-laun orang akan tahu juga.
“Bagi menjawab soalan tadi, saya dan Fahrin masih bersama untuk Sehati Berdansa, namun dalam hubungan sebenar tiada apa-apa lagi antara kami. Senang cakap, kami sudah putus.
“Sepanjang proses mengenali hati budi, kami berusaha mencari keserasian. Ada masanya berjalan lancar dan ada ketikanya hubungan kami bergoncang.
“Selepas mendapati hubungan ini tidak boleh diteruskan, kami mengambil keputusan berpisah secara baik,” katanya berterus-terang.
Menyingkap punca berakhirnya hubungan itu, Scha menjelaskan, mungkin tiada keserasian dan perbezaan latar belakang menjadi faktor utama.
“Ada jurang antara kami yang menyebabkan ketidaksefahaman dalam sesuatu perkara, selebihnya saya tidak mahu komen panjang kerana ia terlalu peribadi.
“Saya reda dengan perpisahan ini dan berharap kami masih boleh berkawan. Apa yang berlaku sebelum ini biarlah berlalu, tiada dendam atau marah di hati,” kata bintang yang kian bersinar ini.
kredit:hmetro
0 comments:
Post a Comment