Scha Memilih Watak?


2009 merupakan tahun bertuah untuk pelakon gebu Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau lebih dikenali Scha Al-Yahya. Mana tidaknya, dari awal tahun sehinggalah sekarang, namanya tidak henti-henti meniti di bibir peminat serta pemerhati dunia seni.

Dari raut wajahnya, pasti ramai terpana dengan kecantikan yang dimiliki bekas juara Dewi Remaja ini. Malah, dengan hanya sedikit solekan, wajah Scha sudah memperlihatkan kecantikan yang dimilikinya.

Senang menjadi diri sendiri, pada awal kemunculannya Scha dilihat sebagai seorang gadis lasak dan berperwatakan tomboy. Malah sehingga kini, perwatakan lincah Scha tidak mengubah persepsi bahawa dia sebenarnya gadis lasak dan sukar dipisahkan dengan perwatakan sebegitu.

Dalam lakonan pula, Scha lebih banyak memainkan peranan gadis lasak dan ternyata lakonannya menjadi. Mengakui selesa melakonkan watak yang hampir dengan perwatakan sendiri, Scha bukan seorang pelakon demanding, sebaliknya sebagai pelakon baru, itu adalah cara terbaik untuk dirinya mempertingkatkan kualiti lakonan.

“Saya bukannya memilih watak, tetapi sebagai pelakon baru, lebih senang andai saya menerima watak yang hampir dengan perwatakan sebenar saya. Contohnya ketika di awal kemunculan, saya banyak melakonkan watak tomboy seperti yang anda lihat dalam filem ‘Histeria’. Namun, berdikit-dikit, saya belajar untuk mempelbagaikan watak,” katanya.

Ketika menonton filem ‘Papadom’ arahan Afdlin Shauki yang turut dibintangi Scha, lakonannya dalam filem itu nyata berbeza dengan watak yang sering dilakonkan. Watak gadis gedik yang penuh rasa iri hati tidak sukar dilakonkan.

“‘Papadom’ merupakan filem terbaik daripada Afdlin kerana penyampaian ceritanya yang bersahaja walaupun bagi saya isinya berat memandangkan ianya sarat isu kekeluargaan. Ketika diberikan peluang melakonkan watak Shasha, saya menerimanya dengan senang hati kerana wataknya ringan dan tidak memerlukan saya pecah kepala menghayatinya.

“Walau mudah tetapi saya masih tidak berpuas hati melihat hasil lakonan saya. Ketika hari penggambaran, ‘mood’ saya kurang baik dan tidak berapa sihat. Saya yakin dapat melakukan yang lebih baik daripada itu,” jelasnya.

Selain filem ‘Papadom’ yang akan berada di pawagam beberapa hari sahaja lagi, Scha turut menanti reaksi peminat melalui lakonannya dalam ‘Libas’ dan ‘Evolusi KL Drift 2’. Namun bagi peminat yang sentiasa merindui kemunculan Scha, bolehlah menonton drama bersiri ‘Awan Dania 2’ yang sudahpun bersiaran.

“Dalam ‘Awan Dania 2’, watak Scha lebih berani dan lebih memfokus mengenai perasaan terhadap keluarga dan cinta. Namun watak kali ini tidak lagi menyaksikan Dania bekerja sebagai pramugari Air Asia, sebaliknya bertukar kerjaya sebagai pramugari FireFly pula,” akuinya.

Memandangkan drama bersiri itu sudah memasuki musim baru, Scha tidak menafikan ramai mengharapkan kelainan daripadanya. Malah, kehadiran ramai pelakon baru secara tidak langsung memberikan kesan terhadap drama itu.

kredit:gua.com

0 comments:

Post a Comment