Faizal, Audi Mok, Nur Fatima menang pertandingan lagu 1Malaysia




Lagu 'Malaysia Satu', yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir, hasil gubahan Audi Mok dengan lirik oleh Nur Fatima, semalam diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Lagu 1Malaysia Kita.

Mok memberitahu pemberita di sini, lagu itu diilhamkan daripada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai pertandingan ini, kami memutuskan untuk menjadikannya satu kenyataan. Iramanya lebih rancak dan kami mahu menjadikan lagu ini lebih moden dan boleh didendangkan di manamana saja, bukannya kedengaran seperti sebuah lagu patriotik tradisional," katanya.

Faizal juga kelihatan gembira semasa mendendangkan lagu itu di hadapan penonton termasuk Najib, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Nur Fatima berkata beliau mahu lagu itu menggambarkan sumbangannya kepada penduduk negara ini.

"Saya merasakan ia sebagai tugas saya dan sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab saya untuk menulis sesuatu yang dapat mencerminkan masyarakat Malaysia, budaya kita, sumbangan kita dan sebagainya," katanya.

Najib ketika mengumumkan pemenang pertandingan itu, turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000 dan ketika berucap, beliau berharap lagu itu akan menjadi inspirasi untuk menghayati makna dan maksud 1Malaysia.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment