Rozita terkenang suasana di Mekah


Berstatus ibu tunggal, seperti ibu-ibu lain, persiapan berhari raya untuk anak-anak menjadi perkara wajib saban tahun bagi pemilik nama sebenar Rozita Che Wan ini.

Berhari raya di kampungnya di Alor Setar, Kedah, kata Rozita, itulah itulah sahaja kesempatan yang ada untuknya setelah sibuk menjalani pengambaran untuk sebuah telemovie raya, Gondoruwo yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

Biarpun teruja dan gembira kerana berkesempatan membeli belah untuk anak-anaknya namun, jauh di sudut hati jelitawan ini masih terkenangkan Tanah Suci Mekah yang dikunjunginya menerusi ibadah Umrah pada 29 Ogos lalu.

Malah katanya, itulah kali pertama dia berpeluang merasai nikmat menjalani ibadah puasa di sana.

Perasaan seronok dan gembiranya bertambah apabila dia dapat berkongsi suasana berpuasa di tanah suci bersama ibu tercinta, Zabedah Saad.

"Syukur, dapat juga saya merasai nikmat berpuasa di Tanah Suci. Saya dengar daripada kawan-kawan berpuasa di Mekah lain suasananya berbanding di negara ini.

"Sebab itu saya cuba juga dapatkan cuti dan rancang sebaik mungkin membawa mak untuk menunaikan Umrah sekali gus merasai nikmat berpuasa di sana," kata Rozita.

Menurut Rozita, tahun lalu dia pernah merancang untuk menunaikan Umrah pada bulan Ramadan, namun kesibukan serta jadual kerja yang tidak menentu mengekang hasratnya itu.

Masih tidak mahu mengalah, sekali lagi dia merancang untuk menunaikan umrah sambil menjalani ibadah puasa di Tanah Suci.

Bezanya kali ini dia merancang awal sejak bulan April lagi.

"Alhamdulillah kesempatan itu dapat saya penuhi dengan menjalani pelbagai ibadah. Malah, masa yang terluang saya cuba isi dengan pelbagai ibadah sunat.

"Tambah menggembirakan, pengalaman berharga itu dapat saya kongsi bersama mak saya," kata Rozita yang mengakhiri ibadah Umrah pada 11 September lalu.

Bercerita lanjut tentang suasana Ramadan di tanah suci, kata Rozita, biarpun cuaca panas mencecah 48 darjah celcius, namun kerana keterujaan berada di Tanah Suci membataskan kesukaran yang dilaluinya.

"Masa berpuasa di sana memang lain dari Malaysia. Di sana pada pukul 4.30 pagi sudah masuk waktu subuh sementara berbuka pula lebih kurang pukul 6.30 petang.

"Menariknya, saya sama seperti orang lain di sana dapat berbuka puasa beramai-ramai di masjid sambil makan nasi dan roti Arab," cerita Rozita dengan nada ceria.

Kali pertama Rozita menunaikan Umrah bersama bekas suaminya enam tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment