Nur Eishal penyeri lebaran Eja tahun ini


SYAWAL tahun ini memang cukup bermakna buat pemilik nama Siti Shahrizah Saifuddin atau mesra dengan panggila Eja ini.

Jika sejak 10 tahun yang lalu, hari lebaran disambut hanya dengan suami tercinta dan ahli keluarga yang lain, tetapi kali ini kehadiran Nur Eishal nyata lebih menambah keceriaan buat Eja dan keluarga.

Permata hati Eja dan suaminya itu yang lahir ke dunia pada 3 September lalu memang amat dinanti-nantikan oleh aktres jelita itu. Eishal yang digelar 'bayi Ramadan' oleh Eja kerana dilahirkan pada bulan mulia itu dianggap sebagai 'penyeri' Hari Raya tahun ini.

"Walaupun saya masih dalam pantang, tetapi saya memang 'excited' sambut raya tahun ini. Memang lebih ceria nampaknya raya kali ini dengan kehadiran Eishal.

"Memandangkan saya sedang berpantang di rumah ibu di Puchong, jadi suasana raya akan meriah kerana selalunya, memang rumah ibu akan menjadi tumpuan ahli keluarga dan saudara-mara semua bertandang.

"Cuma bezanya tahun ini, saya tidak buat sebarang persiapan raya. Maklumlah, saya sedang dalam pantang.

"Mungkin tahun depan saya akan sibuklah menjelang raya kerana Eishal juga makin besar nanti," ujar Eja ceria menceritakan tentang bayi perempuannya itu.

Bercerita tentang kehidupannya kini bergelar ibu, tutur aktres berusia 37 tahun, dia akui sedang menyesuaikan diri dalam meniti fasa hidup yang baru.

"Dapat menjadi seorang ibu memang akan membuatkan hidup seseorang wanita itu lengkap. Itulah yang saya rasai sekarang. Tidak saya nafikan, hidup saya sudah berubah 360 darjah sejak Eishal dilahirkan.

"Semua kerja kena buat dengan pantas sekarang ini kerana pada masa yang sama kena menjaga 'baby'. Saya akui, pertama kali menjadi ibu memang agak kekok pada awalnya.

"Saya tidak dapat lupakan saat anak anak saya menghidap demam kuning selepas beberapa hari dilahirkan. Memang panik betul saya ketika itu apatah lagi badan Eishal juga dipenuhi ruam yang saya tidak tahu apa puncanya.

"Empat hari anak saya dimasukkan ke hospital selepas itu. Tetapi alhamdulillah, keadaan Eishal semakin 'ok' selepas ibu turut cuba cari tradisional dengan memberikan dia minum susu kambing," cerita Eja tentang pengalaman awalnya bergelar ibu.

Eja juga turut berkongsi cerita di sebalik nama Nur Eishal yang dipilih oleh suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, untuk anak sulung mereka itu.

"Saya memang teringin nak namakan anak perempuan dengan nama 'Nur'. Dan saya beritahu suami saya, kalau boleh, saya ingin anak kami nanti berpangkal nama 'E' selepas perkataan 'Nur' itu.

"Saya pun tak tahu mengapa saya suka sangat huru 'E' itu, mungkin juga kerana mengikut nama saya, Eja.

"Suami saya kemudiannya cari tiga pilihan nama yang sesuai dan akhirnya, kami bercadang untuk ambil nama Nur Eishal yang bermaksud 'bunga syurga'. Alhamdulillah, ramai yang puji dengar nama ini," kata Eja.

Ditanya tentang perancangannya selepas habis berpantang nanti, ujar Eja, dia akan kembali menghabiskan penggambaran drama bersiri Tasbih Cinta arahan Erma Fatima.

"Saya akan berpantang selama 44 hari. Memang saya kena ikut betul-betul proses pantang ini kerana ibu saya memang tegas dalam hal-hal seperti ini.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment