Ifa Raziah menang kes saman fitnah RM50, 000


Penyanyi dan pelakon Ifa Raziah berjaya dalam tuntutan saman fitnah berjumlah RM50,000 dan ganti rugi terhadap sebuah syarikat pemasaran produk kesihatan, Sain Group Corporation Sdn Bhd (SGSB).

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan tersebut hari ini selepas meneliti penghujahan peguam Ifa (plaintif), Shamsul Anuar Kamarudin dan peguam SGSB (defendan), Boestamam Ahmad, semalam.

"Sebagai kesimpulannya, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (Ifa) bagi wang berjumlah RM50,000 sebagai ganti rugi reputasi, berserta faedah pada kadar 6 peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian sepenuhnya dan ganti rugi kos juga dibenarkan," kata Jagjit Singh dalam prosiding mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Ifa tidak hadir ke mahkamah hari ini dan dia diwakili suaminya, Muhd Yani Abdul Rahman.

Tuntutan ganti rugi itu dibuat selepas akhbar tabloid Mingguan Warta Perdana terbitan defendan bertarikh 29 Jun 2008, menerbitkan artikel yang bertajuk "Ifa Raziah bebas alahan" - ajak rakan artis minum Power Nest.

Dalam artikel tersebut, Ifa (plaintif) telah dikatakan mengeluarkan kenyataan berupa pengiklanan kepada wartawan akhbar berkenaan, M. Rozi Hassan.

Bagaimanapun, Ifa dalam pernyataan tuntutannya menafikan yang beliau memberikan persetujuan atau sebarang kebenaran kepada akhbar tersebut.

Ifa juga menafikan beliau pernah memberikan kenyataan sepertimana yang tersiar dalam tabloid tersebut dan sebarang kenyataan yang disiarkan adalah kenyataan penerbit akhbar tersebut.

Oleh yang demikian, plaintif (Ifa) menuntut daripada defendan wang ganti rugi reputasi berjumlah RM50,000 dan lain-lain kos yang adil dan sesuai.

Dalam prosiding mahkamah hari ini, hakim Jagjit Singh menerima keterangan Ifa telah mengalami kerugian terhadap produk keluaran Ifa sendiri.

"Adalah jelas akibat siaran artikel tersebut, jualan produk plaintif telah merosot kerana peminat keliru yang mana satu produk keluaran plaintif.

"Saya juga menerima penghujahan peguam plaintif di mana jualan produk defendan, Power Nest telah meningkat pada Julai 2008 iaitu selepas artikel tersebut diterbitkan pada Jun 2008. Di samping itu, terdapat usaha promosi lain oleh defendan termasuk siaran melalui Johor FM," ujar Jagjit Singh.

Berhubung dengan penghujahan peguam defendan bahawa Ifa bukan seorang artis yang popular memandangkan beliau tidak memenangi apa-apa anugerah bintang popular penyanyi, pelakon atau pengacara, hakim Jagjit Singh tidak bersetuju.

Jagjit berpendapat itu bukan satu-satunya kriteria untuk menentukan populariti artis.

"Sebaliknya saya menerima keterangan Ifa bahawa beliau merupakan seorang artis dalam industri muzik Malaysia mulai tahun 1996, mempunyai empat buah album muzik, merupakan seorang pelakon drama dan filem juga pengacara 'Wanita Hari Ini' di TV3.

"Beliau juga seorang usahawanita produk kecantikan 'Serifah' dan wajah beliau terpapar hampir setiap hari di Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, NTV7 dan Astro," kata Jagjit Singh.

Hakim Jagjit Singh menambah: "Saya turut bersetuju dengan keterangan Ifa jika dia bukan seorang artis yang popular, kenapa gambar beliau digunakan oleh defendan untuk promosi dan iklan produk defendan."

Sehubungan itu, Jagjit Singh berpendapat Ifa telah berjaya membuktikan dia telah mengalami kerugian dan defendan pula beroleh pertambahan pendapatan dan imej yang baik.

Suami Ifa, Muhd Yani ketika ditemui memberitahu Ifa tidak dapat hadir kerana demam.

Muhd Yani ternyata berpuas hati dengan keputusan hari ini.

Peguam Ifa, Shamsul Anuar berkata, pihaknya juga telah memfailkan saman terhadap wartawan akhbar berkenaan, M. Rozi Hassan dan akhbar Mingguan Warta Perdana. Kes itu akan dibicarakan pada April tahun hadapan.

Dalam pada itu, peguam SGSB, Boestamam Ahmad memberitahu dia akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sebelum memfailkan rayuan terhadap keputusan kes hari ini.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment