Sazzy Falak ubahsuai rumah untuk kelainan


Bagi pasangan Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus, yang beraya di sekitar Kuala Lumpur pada tahun ini, telah menghias serta mengubah suai rumah mereka agar kelihatan berlainan pada raya tahun ini.

"Sepanjang bulan puasa lalu, saya telah menghias serta mengubah suai rumah saya agar ada kelainan pada raya tahun ini.

"Saya memang suka menghias rumah, jadi saya ambil peluang ini untuk melakukannya... saya juga turut dibantu oleh ibu saya, kawan ibu saya serta pembantu rumahnya.

"Tema tu mungkin tiada, tapi boleh dikatakan saya mengubah suai rumah saya ala-ala bohemian, sebab saya memang suka kumpul berbagai perhiasan sama ada klasik atau moden. Jadi saya gabungkan antara klasik dan moden untuk menghias rumah saya," jelas Sazzy.

Selain suasana baru dalam rumahnya, Sazzy mengatakan ada lagi kelainan pada raya tahun ini di mana suaminya telah memotong pendek rambutnya agar kelihatan seperti David Beckham.

"Raya tahun ini juga suami saya telah potong rambut pendek... sebab dia nak jadi macam David Beckham.

"Lagipun saya yang suruh dia potong pendek macam tu... sebab saya suka tengok dia berambut pendek dari berambut panjang," katanya.

Sazzy juga mengatakan dia dan suaminya telah beraya tanpa henti di sekitar Kuala Lumpur untuk menziarah sanak saudaranya kerana kebanyakan mereka menetap di Kuala Lumpur.

"Masa malam raya tu memang saya beraya di rumah datuk saya di Ampang, memang kebiasaannya seperti raya tahun-tahun lalu kami akan beraya di rumah datuk saya dahulu.

"Selepas beraya di rumah datuk saya, kami akan sibuk pusing satu Kuala Lumpur untuk menziarah sanak saudara kerana mereka semua menetap di Kuala Lumpur.

"Jadi beberapa hari ini, kami tanpa henti beraya di rumah sanak saudara sahaja," kata Sazzy yang juga merupakan pengacara bagi rancangan Galaksi di TV9.

Selain itu Sazzy mengatakan pada tahun ini dia dan suaminya tidak dapat mengadakan majlis rumah terbuka berikutan ketiadaan pembantu rumahnya yang telah berhenti untuk membantunya melakukan kerja-kerja rumah.

"Saya dah fikir banyak kali juga sebelum ini sama ada nak buat rumah terbuka atau tidak. Sejak pembantu rumah saya berhenti kerja, semuanya saya uruskan sendiri.

"Jadi saya rasa agak sukar untuk mengadakan majlis rumah terbuka jika segalanya saya perlu uruskan sendiri.

"Jadi saya dan suami putuskan untuk tidak buat rumah terbuka dan hanya turut serta pada majlis rumah terbuka datuk saya tempoh hari sahaja," kata Sazzy yang telah muncul di pawagam pada hari raya pertama lalu dalam filem 'Jin Notti' yang dibintanginya.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment