Norish Terkilan, Tidak Diberitahu Digugurkan


Norish Karman mendapat tahu namanya digugurkan dari musim ketiga ‘Spa Q’ melalui ruangan Soseh Soseh (Harian Metro) pada 16 September lalu. Tetapi ketika itu, dia melihatnya sebagai satu taktik untuk mensensasikan musim terbaru ‘Spa Q’ yang sudah berpindah dari TV3 ke Astro.

Tiada sebab untuknya mempercayai laporan tersebut. Skrip untuk 13-episod 'Spa Q 3' sudah berada di tangan. Ditambah pula, pengarah sendiri mengingatkannya untuk mengosongkan jadual bagi membolehkan penggambaran berjalan lancar.

Tetapi apabila ramai teman menyampaikan berita yang sama, Norish menghubungi pengarah untuk mendapatkan kepastian.

"Dia kata 'sorry' pada saya. Katanya, dia pun baru saja tahu tentang keputusan itu apabila melihat skrip untuk watak saya diberikan kepada pelakon lain. Dia tak boleh buat apa-apa. Keputusan bukan di tangannya," cerita Norish pada GUA semalam.

"Saya okay. Walaupun, seperti yang anda katakan tadi, cerita 'Spa Q' berkisarkan Qistina. Dan sayalah Qistina. Bagaimana jalan ceritanya nanti tanpa dia? Apapun, keputusan ini mungkin lebih mengecewakan para peminat daripada saya."

Yang membuatnya terkilan ialah apabila sehingga hari ini, tiada sesiapa dari pihak Astro yang menghubunginya untuk memaklumkan tentang keputusan itu.

"Tak salah jika mereka nak gugurkan saya. Tetapi sekurang-kurangnya, tunjukkanlah etika kerja yang baik. Beritahu saja yang saya tidak diperlukan lagi. Ini, saya perlu mendengar dari mulut orang lain. Kelakarnya, mereka yang memberitahu saya kata saya tak sepatutnya tahu.

"Saya bukan pendatang baru dalam industri. After all I've done, membawa 'Spa Q' ke satu tahap yang baru dalam drama bersiri tempatan, I deserved to be treated with respect. Give me a proper explanation.

"Saya memang teruja menantikan penggambaran. I’ve done my homework. Dari maklum balas peminat, saya dah tahu bagaimana nak bawa watak Qistina untuk musim ini. Saya juga membelanjakan RM2,000 untuk pakaian Qistina dan 'hair extensions'. Saya benar-benar berusaha untuk memberikan yang terbaik. I feel so, so sad."

Kongsi Norish lagi, alasan yang diberikan untuk pengugurannya adalah kerana wajahnya yang terlalu sinonim dengan TV3, ditambah pula pihak Astro ingin melakukan pembaharuan di dalam 'Spa Q'.

Tentang kononnya dia digugurkan atas sebab dia "banyak buat hal dengan kru produksi hingga ramai yang bengang", Norish menjawab, "Jika benar, mengapa mereka tawarkan watak itu pada saya dan siap beri saya skrip?

"I'm the victim. Tapi saya taknak salahkan sesiapa. Saya hanya ingin menjelaskan kepada peminat bahawa saya digugurkan bukan kerana mempunyai 'attitude problem'."

Ditanya jalan cerita 'Spa Q 3' menurut skrip yang diterima, dedah Norish, musim ini Nora Danish akan membuat penampilan sebagai isteri Dafi. Ketika pernikahan mereka, pembantu rumah Qistina didatangi Julia yang memberikannya sekeping gambar seorang bayi.

"Saya sudah diberitahu fokus musim ini akan diletakkan pada anak-anak Qistina. Walaupun tidak banyak babak yang menampilkan saya tapi takdelah sampai di 'write off' begitu saja," katanya

kredit:gua.com.my

0 comments:

Post a Comment