Beego cerai Intan elak aib

Setelah hampir setahun bertelagah kerana kes tuntutan fasakh dan nusyuz (ingkar) mereka, pelakon sitcom Puteri, Beego akhirnya rela melepaskan isterinya dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

“Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa lagi. Setakat ini sahaja, saya reda dengan apa yang Allah telah tentukan ke atas saya,” ulas Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszarul Nizam Abdullah, 29, ketika ditemui selepas kes cerai mereka selesai.

Lafaz yang dibuat Beego pukul 2.57 petang itu menamatkan percintaan selama sembilan tahun dengan Intan Shahira Mohd. Shahru sekali gus meleraikan ikatan perkahwinan yang dibina pada 28 Disember 2007 di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Beego yang cuba berlagak tenang ketika melafazkan cerai gagal menyembunyikan kesedihannya apabila dia dilihat beberapa kali mengesat air mata selepas itu.

Bekas isterinya, Intan Shahira Mohd. Shahru, 28, dengan mata yang merah terpaksa dipujuk ibunya.

Terdahulu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai setelah mereka mencapai kata sepakat dan menandatangani perjanjian bersama.

Mengikut perjanjian itu, selepas diceraikan, Intan Shahira tidak akan menuntut apa-apa daripada bekas suaminya sama ada hutang-hutang terdahulu ataupun hak-hak selepas perceraian.

Bagaimanapun, pakar perunding sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu memulangkan cincin bertunang berharga RM13,000 seperti dituntut Beego.

kredit:kosmo

0 comments:

Post a Comment