Tiara pengetua AF wanita pertama

Pelakon, penerbit dan penggiat teater terkenal, Datin Seri Tiara Jacquelina mencipta sejarah baru di dalam program Akademi Fantasia apabila dipilih menjadi Pengetua wanita pertama untuk menerajui musim terbaru program realiti popular itu.

Pemilihan Tiara, 41, sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini akhirnya menamatkan teka-teki siapa yang layak menduduki kerusi 'panas' itu setelah beberapa nama turut disebut-sebut sebelum ini antaranya Datuk Sheila Majid, Norman Abdul Halim, Aznil Nawawi dan Anita Sarawak.

Pengumuman itu dibuat menerusi episod pertama program Diari AF yang disiarkan di saluran Astro Ria, pada pukul 9 malam tadi.

Mengulas mengenai transformasi yang ingin dilakukannya pada musim terbaru ini, kata Tiara, dia telah menyusun visi dan misi yang akan diterapkan kepada semua peserta.

"Transformasi bagi saya ialah perlu berani buat sesuatu yang baru. Saya ingin menjadikan AF7 ini adalah yang terbaik. Kalau boleh, saya ingin AF7 melahirkan bakat-bakat yang luar biasa dan menjadi ikon di tanahair.

"Mungkin impian itu terlalu tinggi, tetapi industri kita memang memerlukan transformasi seperti ini. Saya sengaja letakkan matlamat yang mungkin kedengaran agak tidak masuk akal untuk semua projek yang saya lakukan termasuklah AF7, agar saya dapat lihat sejauhmana ia boleh dicapai.

"Bagi saya, tidak salah meletakkan 'benchmark' yang tinggi. Jika kita tidak berazam dan berusaha, kita tidak tahu kemampuan kita. Dan semua ini akan dilakukan secara bersepakat di antara saya, pelajar dan barisan tenaga pengajar," kata Tiara, bersemangat.

kredit: mstar

0 comments:

Post a Comment