DI saat menanti kelahiran anak sulung; pelakon, penyanyi dan model terkenal Erra Fazira tiba-tiba dikejutkan dengan berita penyamaran seorang wanita yang mengaku sebagai dirinya.
Apa yang mencuit hati, penyamar berkenaan menghubungi pelakon, Syanie untuk meminjam wang sebanyak RM150. Kononnya dakwa wanita itu menerusi SMS, dia memerlukan wang untuk membantu adik angkatnya tetapi dia tidak dapat keluar untuk ke bank pada waktu itu kerana dilarang oleh 'suaminya' Engku Emran.
"Menurut cerita Syanie, wanita itu bercakap seolah-olah dia memang Erra biarpun Syanie sudah syak sesuatu. Bila Syanie tanya mengapa nombor telefonnya lain, dia memberi alasan Erra sudah tukar nombor telefon. Keesokan harinya Syanie minta seseorang memasukkan wang sebanyak RM150 ke dalam akaun yang diberikan, tetapi akaun itu sudah tidak aktif. Syanie kemudiannya menghubungi wanita itu tetapi suara yang didengarnya memang bukan Erra. Selepas itu Syanie hubungi pula Umie untuk mengetahui apakah betul Erra sudah bertukar nombor telefon. Apabila dimaklumkan yang Erra masih menggunakan nombor lama, Syanie terus menghubungi Erra dan bercerita tentang perkara ini," ujar Erra kepada Sinar Harian.
Menurut Erra, dia tidak sangka perkara sebegini boleh berlaku. Apa yang dirisaukannya, jika penyamar berkenaan menghubungi artis lain yang tidak kenal rapat dengannya.
"Sudah pasti perkara ini akan menjadi buah mulut dan memalukan Erra. Jadi selepas ini sesiapa sekalipun jika ada pihak yang menghubungi dan menggunakan nama Erra untuk sebarang urusan pinjaman wang ringgit, baiklah terus cari Erra dan bertanya sendiri. Erra tak mahulah nama Erra dipergunakan apatah lagi ini melibatkan penipuan kepada orang lain," luahnya dengan nada risau. Sebelum ini Erra menyatakan dia pernah juga mendengar tentang penyalahgunaan namanya tetapi didiamkan sahaja kerana cerita itu tidak cukup jelas.
"Erra tak mahu ada orang salah anggap. Maklumlah fasal duit ni, kita tak boleh nak main-main kerana macam-macam orang boleh lakukan,"
0 comments:
Post a Comment