Sepah nekad tidak akan berpecah

BERAKHIRNYA program Gelanggang Raja Lawak Astro musim ketiga pada Jumaat lalu tidak bermakna juaranya, kumpulan Sepah akan membawa haluan masing-masing di luar sana.

Biarpun ditawarkan bergerak secara solo, tiga orang anak muda yang dikenali sebagai Jep atau Nazri, Mamat dan Shuib ini mungkin tidak akan menerima tawaran tersebut kerana mereka sudah berjanji dan nekad tidak akan berpecah.

Jelas Sepah, konflik mungkin akan terjadi di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, bagaimanapun mereka akan cuba membendung setiap perselisihan yang bakal berlaku kelak.

“Sedangkan lidah lagi tergigit. Jika ada masalah, kami akan atasi secara baik.

“Alhamdulillah sehingga kini persefahaman antara kami bertiga masih baik. Kami doakan semoga persahabatan kami semakin akrab.

“Tak adil rasanya kalau salah seorang daripada kami memilih untuk bergerak solo. Saya rasa seperti berlaku kezaliman antara kami.

“Kalau kami sudah pergi bertiga, jadi balik juga kena bertiga,” ujar Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 24, ketika sidang media selepas program tersebut berakhir di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Sepah juga mengaku, disebabkan persefahaman membuatkan mereka berjaya meraih gelaran juara.

“Saya dan Mamat sudah berkawan sejak bersekolah di tingkatan 1 manakala kami mengenali Shuib sejak empat tahun lalu.

“Jadi, sebab itu kami dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain.

“Misalnya, jika dalam program ini orang biasa melihat kami biasa menggunakan bahasa kasar, jadi begitulah kami di luar,” tambah Jep.

Bercerita mengenai sebalik kisah perkenalan Mamat, Jep dan Shuib, Jep berkata dia mengenali Shuib ketika mereka sama-sama menghadiri sesi ujibakat Akademi Fantasia musim keempat dan musim kelima.

Ketika membuat persembahan, kumpulan ini dikritik suka menggunakan perkataan 'double meaning' dan 'kasar'.

Misalnya, ramai yang tergelak dan menganggap subjek burung yang digunakan sebagai bahan lawak berunsur 'double meaning' ketika persembahan bertemakan muzikal

“Kami langsung tiada niat pun untuk menggunakan perkataan ‘double meaning’ di dalam lawak kami.

“Lagipun, kami tak boleh alih pemikiran orang. Kalau orang dah fikir seperti itu, seperti itulah jadinya.

“Tetapi selepas dikomen, kami akan cuba ubah kebiasaan kami itu. Maklumlah, kami ni ibarat bayi yang baru belajar merangkak,” terang Jep yang lebih banyak bercakap berbanding rakannya yang lain

Atas kemenangan yang diraih, Sepah berjaya membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta jenama Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Memandangkan hadiah tersebut terpaksa dikongsi bertiga, Jep berkata mereka memilih untuk menjual kereta yang dihadiahkan itu seterusnya membahagikan wang tersebut antara mereka bertiga.

“Pada mulanya, saya pernah berkata yang kami tidak akan jual kereta itu. Namun, selepas kami berbincang, kami fikir lebih baik kami jual kereta itu dan bahagikan wang itu sama rata.

“Setakat ini, kami belum tahu apakah tawaran untuk kami yang sedang diatur oleh Maestro.

“Tetapi, seperti yang kami tahu pihak Astro berminat untuk menawarkan kami berlakon drama di Astro Ria dan Astro Prima.

“Tentang program sendiri, kami belum diberitahu oleh pihak Astro lagi. Namun, jika berpeluang, kami bercita-cita untuk membuat sitkom seperti yang pernah dilakukan oleh kumpulan Senario.
menurut pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani, pihak Astro akan mengaturkan rancangan untuk Sepah dalam masa tiga hingga empat minggu dari sekarang.

“Kami akan beritahu kelak tentang program untuk Sepah. Mereka akan diberikan program khas di Astro Prima dan Astro Ria.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment