Selepas pelbagai versi kisah percintaannya diperkatakan oleh pihak media, akhirnya pelakon serta penerbit drama popular Nasreen Ngasri mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasih hati pilihannya sendiri, Nur Azlin Rahmat, baru-baru ini.
Majlis pertunangan yang diadakan di kediaman keluarganya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu ternyata meriah dengan kehadiran ramai teman-teman rapat serta ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak
Dalam pertemuan bersama pihak media itu juga Darling berterus-terang memberitahu, jejaka berusia 34 tahun yang berjaya menambat hatinya itu bukanlah seorang ahli perniagaan atau jutawan seperti yang pernah dihebohkan oleh segelintir pihak sebelum ini.
Malah katanya, sifat serta sikap Azlin yang cukup sederhana, memahami serta tahu menghormati orang lain terutama keluarganya menjadi kunci kejayaan perhubungan mereka berdua.
"Azlin hanyalah seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Dia bukanlah seorang ahli perniagaan bertaraf jutawan. Dia hanya orang biasa dan saya selesa berkawan dengannya kerana dia cukup memahami dan mampu menerima diri saya seadanya," ujar Darling yang berharap pertunangannya itu mampu menutup segala kontroversi cintanya sebelum ini.
Dalam majlis itu, ibu Azlin, Badariah Abu Bakar yang mengetuai rombongan pihak lelaki, menyarungkan cincin tanda di jari manis Darling di samping menyerahkan satu peratus daripada wang hantaran yang dipersetujui berjumlah RM22,222.22 bersama lima dulang berbalas tujuh.
Majlis pernikahan Darling dan Azlin dilangsungkan pada 30 Mei depan di rumah ibu bapanya dan diikuti majlis persandingan pada keesokan harinya. Sementara itu, majlis sambut menantu akan diadakan di kampung kelahiran Nur Azlin di Bukit Katil, Melaka pada 7 Jun.
0 comments:
Post a Comment