Tomok Pegang Imuniti

Sudah dijangka ramai yang imuniti minggu ini akan jatuh ke tangan Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan panggilan Tomok. Daya kreativitinya dalam menyusun semula melodi “La La La Kerjalah”, sebuah lagu yang bukan sahaja dikenali umum tetapi ramai yang mungkin tidak dapat membayangkan cara pembawaan yang lain selain Lan’s, memang patut dipuji. Hasilnya - diluar jangkaan. Tomok berjaya memberi nafas baru kepada lagu lama ini.

Dan begitu menyeluruh sekali penghayatannya hinggakan telah dibiarkan misai dan janggutnya tumbuh kerana ingin kelihatan seperti seorang yang tidak mempunyai pekerjaan, tidak terurus walaupun masih berpakaian cantik.

“Saya cuba buat yang terbaik untuk malam ini. Saya tidak sangka akan mendapat imuniti kerana kesemua peserta telah memberikan persembahan yang bagus. Saya perlu berterima kasih kepada Taja kerana memberi kebebasan kepada saya untuk melakukan apa yang saya inginkan dengan lagunya. Malah dia juga menasihatkan saya untuk membawanya lain dari yang dilakukan oleh Lan.”

Ditanya jika seperti Nine, Simon dan Amylea, dia juga merancang untuk menunjukkan bakatnya dalam memainkan alat muzik, jelas Tomok, pada sesi ujibakat dulu dia telah dikritik Paul Moss yang mengatakan dia kelihatan seperti seorang ‘busker’ dengan gitarnya.

“Saya fobia sebenarnya main di atas pentas. Kini, saya mendapati saya lebih selesa dengan penampilan sebegini kerana dapat melakukan lebih banyak pergerakan di atas pentas.”

kredit: gua.com.my

0 comments:

Post a Comment