'Saus Kacang' Popularkan Ashraf Di Indonesia

Selepas mendirikan rumahtangga dengan penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari, Ashraf Sinclair mengambil keputusan untuk menetap di Indonesia. Selain untuk hidup bersama isteri tercinta, Ashraf yang sebelum ini popular melalui filem ‘Gol & Gincu’ mahu mencuba nasib sebagai pelakon di persada seni Indonesia.

Penghijrahan Ashraf ternyata tidak sia-sia apabila kehadirannya di dalam dunia lakonan di Indonesia diterima baik oleh masyarakat di sana. Terbaru, dia bergandingan dengan isterinya melalui filem ‘Saus Kacang’ yang telah mencatat jualan tiket yang memberangsangkan.

‘Saus Kacang’ mencatat jualan tiket 285,000 penonton untuk tayangan selama lapan hari. Jumlah tersebut kini dilaporkan seramai 410,000 penonton.

Penonton Malaysia turut berpeluang menyaksikan filem ini apabila ia bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada 19 Mac depan. Selain Ashraf dan Bunga, filem yang menampilkan keindahan pulau Bali ini, turut mengetengahkan lakonan dan kehadiran sulung kumpulan Samsons di layar perak.

*********************************************

sinopsis 'saus kacang'

mengisahkan tentang perjalanan Dewi (Bunga Citra Lestari) yang bekerja sebagai chef de cuisine di sebuah hotel lima bintang di bandar peranginan Bali. Sebelum itu, Dewi telah mengalami pengalaman putus cinta akibat ditinggalkan oleh kekasihnya.

Oleh sebab itu, Dewi memerlukan masa yang agak lama untuk mengubati luka di hati lalu memberi tumpuan dan komitmen terhadap kerjayanya.

Selepas lima tahun, Dewi semakin matang dan mempunyai sikap yang lebih optimis untuk menghadapi hidup tetapi masih berhati-hati dalam soal percintaan. Sehingga satu hari, di hotel tempat Dewi bekerja muncul seorang tetamu dan pelancong dari Malaysia yang memiliki sikap resah, panas baran, kuat mengadu dan tidak mempedulikan hal ehwal orang sekeliling.

Jejaka tersebut ialah Fredo (Ashraf Sinclair). Pertemuan pertama dengan Fredo menjadi igauan dan mimpi buruk bagi Dewi. Dewi mengibaratkan Fredo seperti 'seekor singa liar yang sukar untuk dijinakkan'.

Setiap pekerja hotel yang pernah menjadi mangsa sikap panas baran Fredo berkonspirasi untuk memberi pengajaran kepadanya. Namun, apabila rancangan tersebut dilaksanakan, ianya ternyta menjadi sesuatu yang di luar kawalan. Fredo di biarkan berkeliaran seorang diri sewaktu sambutan malam Hari Raya Nyepi kaum masyarakat Bali.

Dihantui perasaan bersalah maka Dewi mencari Fredo. Ketika keduanya bertemu, mereka ditahan kerana berada di luar rumah di Hari Raya Nyepi. Maka kedua-duanya terpaksa menjalani hukuman untuk membersihkan perkarangan kawasan bandar Bali selama beberapa hari.

Pertembungan kedua pasangan ini yang pada mulanya diibaratkan seperti air dan minyak, semakin berubah. Perasaan saling membenci dengan perlahan-lahan bertukar menjadi sebuah percintaan.

Dari seorang jejaka yang panas baran serta tidak mempedulikan perasaan orang disekelilingnya, Fredo berubah kepada seorang yang sabar dan tenang. Dalam kehebatan dan keasyikan percintaan yang bersemi di antara Fredo dan Dewi, tiba-tiba muncul bekas tunang Fredo yang pernah meninggalkannya dan berazam untuk memiliki semula hati Fredo.

kredit: gua.com.my

0 comments:

Post a Comment