SEMEMANGNYA tidak adil jika peserta yang paling corot persembahannya diangkat dan dipilih ke pusingan akhir sedangkan peserta yang jauh lebih baik tersingkir.
Itulah penangan dan 'kekuatan' pengundi SMS yang membenarkan peserta Raja Lawak musim ketiga, Amir mara ke pusingan akhir.Dan peserta berkumpulan LNJ terpaksa berputih mata dan menerima untung nasibnya setakat ini saja.
Kalau hendak diikutkan prestasi yang ditunjukkan pada persembahan pusingan kesembilan yang membawa tema 'Kisah Cinta", Amir adalah peserta yang diharapkan tersingkir.
Bukan saja majoriti beranggapan begitu malah dua juri tetap Fazuiah nawi dan Zaibo serta juri jemputan, Radhi Khalid juga bersetuju yang Amir tidak layak dan tidak mampu menandingi yang lain.
Lain pula yang terjadi apabila peserta berkumpulan LNJ terpaksa dikeluarkan pada Jumaat lepas, memberikan laluan mudah untuk Amir ke final.
Amir sendiri kelihatan 'terperanjat' dengan keputusan itu. Begitu juga dengan Fauziah dan Zaibo, masing-masing seperti tidak mahu membuat pengumuman yang LNJ terkeluar dan bukannya Amir, seperti yang disangkakan.
Keistimewaan Amir, peserta paling rendah fizikal dan idea lawaknya sukar diramal. Mungkinkah 'SMS simpati' yang diperolehi tidak terjangkau oleh akal? Namun apa yang dikesalkan apabila Amir sendiri tidak menampakkan perubahan mahupun peningkatan. Dia selesa dengan lawak yang menjengkelkan dan tidak cerdik itu.
Bukan saja cakap Kelantannya sukar difahami, 'lawak'nya yang tidak lawak membuat ramai jemu dan tidak sabar-sabar melihat Amir disingkirkan setiap minggu. Amir juga ketandusan idea, tidak kreatif, tidak bijak menyusun cerita tidak kira apapun tajuk yang diberikan.
Boleh dikatakan Amir membuat persembahan 'syok sendiri' saban minggu dan makin lama makin teruk prestasi Amir kerana dia diberi 'harapan palsu' oleh pengundi SMS yang tidak jemu-jemu memberi dia mandat setiap minggu.
Bila persembahan Amir dikutuk, semakin banyak kononnya SMS yang dipungut Amir.
Sepatutnya Amir tidak sampai pun ke tahap sekarang kerana bukan saja dia peserta paling lemah, yang lebih sedih dia langsung tidak boleh diiktiraf sebagai peserta Raja Lawak, jauh sekali pelawak.
Kalau sekadar pakej 'comel' yang dimilikinya, sampai bila pakej ini akan dapat membantu Amir membina angan-angan untuk menjadi pelawak terkenal sedangkan bakatnya tidak kemana.
Kehadiran Amir antara salah seorang peserta final Raja Lawak juga menimbulkan cakap-cakap sumbang. Ke mana prestij dan maruah Raja Lawak musim ketiga hendak dibawa?.
kredit:mstar
0 comments:
Post a Comment