Shafnie tak setuju permohonan AC




Permohonan pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal, AC Mizal untuk mendapatkan hak penjagaan dua anak lelakinya ditangguhkan pada 18 Mei depan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bagi membolehkan bekas isterinya memfailkan pembelaan.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad menangguhkan kes itu selepas peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif yang mewakili bekas isteri pelakon terbabit, Shafnie Zainudin, 34, (gambar) memberitahu pihaknya tidak bersetuju dengan permohonan berkenaan.

Peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal ketika ditemui di luar mahkamah berkata, selain memohon untuk mendapat hak penjagaan anak, pihaknya memfailkan permohonan bagi menghalang daripada pihak-pihak memberi keterangan kepada media kecuali yang direkodkan mahkamah.

“Anak guam saya tidak mahu membabitkan media dalam masalah ini dan kami akan minta Shafnie dihalang membuat kenyataan kecuali yang direkodkan mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Shafnie ketika ditemuramah di luar mahkamah mendakwa bekas suaminya sudah dua tahun tidak menjenguk anak-anaknya.

“Sebelum ini, anak saya cari dia (AC Mizal), tetapi tidak dilayan kerana sibuk. Saya hanya memperjuang keadilan iaitu nafkah anak. Ia bukan untuk saya, tetapi untuk anak-anak,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 24 Jun 1995 dan mendapat dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9, sebelum bercerai 17 Oktober 2001.

kredit:hmetro

0 comments:

Post a Comment