Naz- kehilangan masih terasa.



KEGEMBIRAAN pengacara The Breakfast Show, Nazruddin Habibur Rahman (Naz) dan isterinya, Sheahnee Iman Lee (Sheahnee) menantikan kehadiran cahaya mata pertama bertukar sebaliknya apabila doktor mengesahkan bayi kembar mereka yang berusia tiga bulan itu meninggal dunia dalam kandungan.
Naz, 30, berkata, semuanya bermula bila doktor memberitahu kandungan Sheahnee, 29, mempunyai komplikasi pada pemeriksaan kandungan kali ketiga di Hospital Gleneagles, Ampang.

"Hasil pemeriksaan kandungan, doktor mengesahkan degupan jantung bayi kembar kami lemah. Kami terpaksa membuat pemeriksaan lebih kerap untuk menyelamatkan bayi kami itu. Namun, Tuhan lebih menyayanginya dan kami terpaksa reda bila doktor memberitahu bayi kembar kami itu sudah meninggal dunia dalam kandungan.

"Sheahnee terpaksa menjalani pembedahan untuk membersihkan rahimnya kerana mengalami keguguran itu dan dia terpaksa berpantang dua minggu sebelum pulih seperti biasa," katanya.

Naz berkata, Sheahnee dan keluarganya yang paling sedih dengan kehilangan bayi kembar mereka itu. Maklumlah, mereka dianugerahkan berita Sheahnee mengandung bayi kembar selepas kira-kira tiga bulan berkahwin.

"Sheahnee memberitahu saya, dia mengandung selepas kembali dari menjayakan tugasan selama sebulan di Amerika Syarikat, Oktober lalu.

"Kami menyambut berita itu dengan gembira terutama Sheahnee dan keluarganya yang tidak sabar menantikan kehadiran bayi kembar itu. Maklumlah, dalam sejarah keluarga kami berdua tidak ada yang dapat anak kembar sebelum ini. Justeru, masing-masing begitu teruja menantikan kehadiran anggota baru dalam keluarga kami itu. "Mungkin, belum rezeki kami lagi untuk mendapat anak kembar itu," katanya.

Kini, selepas dua bulan cerita sedih itu berlaku, Naz berkata, dia dan Sheahnee masih merasai kehilangan bayi mereka itu sampai sekarang.

"Saya mungkin lebih tabah berbanding Sheahnee. Tapi sebagai suami, saya sentiasa berada di sisi isteri untuk memberi sokongan supaya dia tabah menghadapi ujian ini.

"Sheahnee juga tidak mahu duduk di rumah lama-lama kerana dia tidak mahu fikirannya asyik teringat kehilangan bayinya itu," katanya.

0 comments:

Post a Comment