Hairie diberi peluang sehingga Ahad


SETELAH perjanjian dibuat dan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus diberikan, pelakon Hairie Othman 'buat hal' pula apabila dia menghilangkan diri tanpa sebarang perkhabaran tatkala produksi filem Dimensi Cinta ingin memulakan penggambaran filem tersebut.

Berkali-kali dihubungi pihak produksi iaitu Harian Inovatif Sdn Bhd (HISB), namun telefon bimbitnya tidak langsung dijawab. Malah, pesanan yang ditinggalkan di telefonnya itu juga tidak mendapat respon Hairie sehingga menggusarkan pihak produksi.

Filem arahan Eddie Pak yang merupakan usahasama HISB dan Syarikat Sunday To Sunday Services Sdn Bhd (STSS) itu dijadualkan akan memulakan penggambaran pada 23 Februari ini.

Namun, sehingga hari ini Hairie masih lagi gagal dihubungi dan lantaran itu, watak utama yang sepatutnya menjadi milik pelakon itu telah diserahkan kepada Fahrin Ahmad.

Ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di Bukit Kiara, hari ini, penerbit filem itu, Raja Norasmah Lela mengakui cukup terkilan dengan sikap pelakon yang popular menerusi filem Leftenan Adnan itu.

"Dia sudah mengikat kontrak pada akhir tahun lalu dan telah pun mengambil bayaran sebanyak 10 peratus. Tetapi saya tidak tahu apa masalah sebenarnya yang berlaku terhadap dirinya sehingga kami gagal menghubunginya.

"Kami menghantar notis, SMS dan cuba hubungi menerusi telefon...tetapi semua tidak dibalas sedangkan telefon bimbitnya tidak dimatikan pun.

"Memang ketika dia ingin 'sign' kontrak itu, dia beritahu kami bahawa dia juga perlu menjalani penggambaran drama Anak Betung, tetapi dia tidak ada masalah tentang hal itu.

"Tetapi, lain pula jadinya sekarang. Setelah dua minggu ikat kontrak, dia hilang begitu saja. Kami sendiri tidak pasti mengapa dia jadi begitu. Pihak produksi juga gagal mengesannya di lokasi penggambaran drama lakonannya.

"Bagi saya, dia tidak berdisiplin," kata Raja.

Menurutnya lagi, meskipun Hairie bersikap demikian, pihak produksi belum lagi menamatkan kontraknya walaupun watak Imran yang sepatutnya dibawakan oleh Hairie telah pun diambilalih oleh Fahrin.

"Saya harap dia keluar berbincang dengan kami. Walaupun wataknya telah diserahkan kepada Fahrin, tetapi jika dia masih berminat untuk menjayakan filem ini, kami tetap akan ambil dia untuk karektor yang lain pula.

"Kami beri peluang kepada dia sehingga Ahad ini. Kami pun tidak boleh tunggu lama kerana penggambaran akan bermula tidak lama lagi.

"Jika dia tidak muncul juga, kami akan ambil tindakan undang-undang ke atas dirinya. Setakat ini, perbincangan dengan bahagian perundangan syarikat telah dibuat, tetapi kami masih lagi beri peluang lagi kepada dia.

Dimensi Cinta yang berkonsepkan cinta dan muzik ini ditunjangi oleh Fahrin Ahmad dan Catriona Ross sebagai tunggak utama. Catriona juga dipilih menggantikan tempat Rozita Che Wan yang tidak dapat menjayakan filem ini atas sebab tertentu.

Turut menjayakan filem yang menelan belanja sebanyak RM1.8 juta ini ialah Memey, Adam AF, Zarina AF, Eman Manan, Awie dan Scha.

Secara ringkasnya, Dimensi Cinta merupakan kisah benar dan berkisar tentang Raja Soffhilea (Catriona) yang sering didera oleh bekas suaminya, Redhuan (Eman).

Soffhilea yang mempunyai tiga orang anak akhirnya bangkit dari kesengsaraan itu setelah bercerai dengan Redhuan dan berjaya membentuk empayar perniagaannya sendiri atas bantuan Imran (Fahrin).

0 comments:

Post a Comment