SABAN tahun, pada bulan Februari sekitar tanggal 22 Februari (tarikh pemergian Allahyarham Sudirman Hj Arshad), famili dan rakan seperjuangan tidak pernah lupa mengadakan kenduri tahlil.
Bukan sekadar sedekahkan Fatihah mahupun bacaan Yaasin tapi majlis tahlil yang diadakan setahun sekali itu turut mempertemukan rakan-rakan lama Sudirman.
Pada tahun ini, majlis tahlil sempena memperingati Allahyarham Sudirman Hj Arshad akan diadakan pada hari Khamis 19 Februari, bertempat di Restoran Puteri Sg Penchala.
Lebih 100 orang dijangka akan hadir termasuk lebih kurang 50 selebriti. Antara mereka ialah Hattan, Nurul, Farah Asyikin, Noor Kumalasari, Datuk Siti Nurhaliza dan Anita Sarawak.
Majlis yang dianjurkan bersama Kosmetik Leesa Formula dan Suria FM itu akan bermula pada jam 6.30 petang dengan dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan Yaasin dan solat Isyak.
Antara tetamu yang akan turut hadir ialah anak saudara arwah, Atai dan ahli keluarganya termasuk individu yang pernah kenal rapat dengan Allahyarham seperti penulis lirik veteran, Habsah Hassan dan bekas wartawan Utusan Malaysia Bahyah Mahmood (BAM).
Sudirman dilahirkan pada 25 Mei, 1955 di Temerloh, Pahang. Pemergian seniman dalam usia semuda 37 pada tarikh 1992 banyak mencoretkan memori indah di benak rakan dan keluarga tersayang.
Bekas Bintang RTM 1976 ini juga pernah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia dan sering digelar 'the singing lawyer.'
Hingga kini masih belum ada penyanyi mahupun penghibur Malaysia yang mampu menyaingi kehebatan Allahyarham yang mengukir nama sebagai penulis, kartunis, pelakon dan usahawan. Datuk Siti pernah membuat konsert tribute kepada Sudirman di Istana Budaya beberapa tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment