Apabila juara pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007, Rafidah Hj Ibrahim atau Fida mengakui baru-baru ini bahawa dia sebenarnya saudara pangkat sepupu kepada penyanyi tersohor, Dato' Siti Nurhaliza Tarudin, ramai peminat terkejut dan menganggap mereka telah tertipu selama ini.
"Fida rasa dah sampai masa Fida jelaskan semuanya. Pertama sekali Fida sendiri tidak menyangka bahawa kami rupa-rupanya ada pertalian saudara. Ini kerana arwah Pakcik Taruddin (ayah Dato' Siti) ada hubungan saudara dengan ibu Fida (Hajah Norimah Derani) tapi mereka sudah lama renggang daripada keluarga gara-gara bertugas dulu.
"Bukan itu saja, ada seorang makcik Fida juga berkahwin dengan pakcik Dato' Siti. Namun semua persaudaraan ini tidak pernah pun Fida bincang dengan Dato' Siti. Kebetulan ketika pertandingan anjuran Pantene itu, Fida telah memakai tudung menyebabkan Dato' Siti tidak perasankan Fida walaupun Fida pernah berjumpa beliau sebagai peminat ketika tidak bertudung dulu.
"Selama ini Fida tidak pernah mendedahkan hal ini - sama ada mengiya atau menafikannya. Orang juga tidak pernah bertanya Fida hal ini.
"Bagi Fida, segala kemenangan Fida dalam pertandingan itu dulu bukannya pilihan Dato' Siti secara 100 peratus. Ia bergantung kepada keputusan penganjur dan undian SMS. Kalau Fida nak tumpang populariti Dato' Siti, dari awal-awal lagi Fida dah cakap Fida saudara pangkat sepupu kepada Dato' Siti.
"Fida harap pengakuan ini menjawab segala tuduhan yang mengatakan semua ini ada pakatan atau konspirasi. Alhamdulillah, selepas pertandingan itu, barulah Fida ceritakan kepada saudara-mara Dato Siti tentang hal sebenar dan kami semakin akrab.
"Sekarang, Fida juga semakin rapat dengan Ali dan Kak Rozie," jelasnya
0 comments:
Post a Comment