Kak Zi macam kakak-Zaefrul


Menurut Zaefrul atau nama sebenarnya Zaefrul Nadzarine Nordin, punca belasan keping gambar intimnya dengan Azizah tersebar adalah kerana Azizah meletakkan gambar tersebut di laman web popular, FaceBook.

"Saya baru melihat gambar-gambar itu semalam selepas diberitahu oleh isteri saya. Itupun selepas kawannya memberikan gambar itu kepada isteri saya.

"Pada Khamis lepas, Kak Zi (Azizah Mahzan) ada memberitahu kepada saya tentang hal itu. Tetapi, saya fikir mungkin orang lain termasuk pihak media tidak akan bercerita lebih-lebih tentang gambar itu.

"Jadi, apabila melihat gambar itu, saya tak marah tetapi hanya tergelak kerana saya dan Kak Zi adalah ‘family friends’.

"Saya tidak kisah kerana dia ibarat kakak saya. Demi Allah, hubungan kami tidak lebih daripada itu.

"Lagipun, isteri saya juga mengetahui tentang hubungan saya dan Kak Zi iaitu hanya berkawan baik seperti kakak dan adik.

"Isteri saya memahami dan saya jelaskan kepadanya supaya tidak risau kerana kami hanya berkawan rapat dan anggap Kak Zi seperti kakak saya," terang Zaefrul berulang kali mengenai hubungan antaranya dengan Azizah berdasarkan gambar mesra mereka yang dirakamkan di Langkawi itu ketika menjalani pengambaran drama rantaian Spa Q 2.

Jelas Zaefrul, dia memahami yang orang ramai mungkin keliru dengan aksi yang mereka lakukan di dalam gambar tersebut lebih-lebih lagi mereka merupakan selebriti.

Dalam masa yang sama, dia juga mengakui kesalahannya bergambar mesra dengan wanita lain tanpa batasan.

"Kami pun salah juga kerana lainlah kalau dia mahram saya. Tetapi, memang Kak Zi jenis yang mesra dengan semua orang begitu juga apabila bergambar.

"Maksudnya, dia bukan sahaja beraksi mesra dengan saya malah juga dengan orang lain yang rapat dengannya.

"Disebabkan saya menganggapnya sebagai kakak, jadi saya terlupa tentang batasan.

"Namun, batasan itu tetap ada di dalam industri ini di mana tidak semua orang saya mudah mesra seperti itu.

"Lainlah kalau saya bergambar seperti itu dengan artis yang lebih muda, mesti nampak tidak manis," ulas Zaefrul lagi.

Antara banyak-banyak gambar yang disebarkan itu, terdapat sekeping gambar yang menunjukkan botol minuman keras.

Menjelaskan tentang gambar itu pula, Zaefrul berkata: "Bagaimana saya ‘minum’, sedangkan ramai lagi orang lain di situ.

"Kalau saya nak minum, takkan saya minum depan orang ramai seperti itu. Mungkin orang lain tidak tahu bagaimana keadaan sebenar kami di sana.

"Memang ramai yang mengambil gambar saya dan Kak Zi di mana saya bukan sahaja bergambar dengannya tetapi juga dengan orang lain.

"Tetapi saya tak faham kenapa orang tumpukan kepada gambar saya dan dia.

"Lagipun, gambar itu diambil oleh artis lain dan penolong pengarah drama Spa Q. Kebetulan, di dalam drama itu, saya melakonkan watak suami kepada Kak Zi. Mungkin sebab itu ia menjadi hangat."

Ulas Zaefrul, dia akui rapat dengan Azizah sejak sebelum bergelar artis lagi.

Kata bapa kepada tiga orang anak ini, dia mula berkecimpung di dalam industri lakonan ini pun melalui bantuan Azizah iaitu kira-kira dua tahun lalu.

"Saya kenal Kak Zi dah lama iaitu sebelum saya berlakon lagi. Dia yang banyak memberi dorongan untuk saya berlakon.

"Kami bukan sahaja berurusan semasa kerja, malah saya sekeluarga juga pernah keluar makan malam bersama Kak Zi dan anak-anaknya.

"Isteri saya pun rapat dengannya. Isteri saya tahu dengan siapa saya berkawan dan dia menyokong setiap perkara yang saya lakukan," ujar Zaefrul.

Menurut Zaefrul, dia dan isterinya, Adelina Datuk Ridzuan bekerja sebagai Ketua Perbankan Internet juga rapat seperti seorang kawan selain bergelar pasangan suami dan isteri.

Namun, disebalik gosip yang timbul ini, Zaefrul berkata isterinya mempunyai sedikit perasaan gusar sekiranya isu ini akan menjadi besar dan timbul salah faham.

"Asalkan saya dan isteri tahu gosip mengatakan saya dan Kak Zi mempunyai hubungan intim adalah tidak benar, itu sudah mencukupi.

"Jadi, saya harap orang lain yang menerima gambar yang disebarkan itu memahami apa yang saya perjelaskan ini," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Zaefrul bersyukur kerana rezekinya di dalam bidang lakonan semakin bertambah selepas berlakon di dalam filem pertamanya, 1957: Hati Malaya terbitan Pesona Pictures.

"Alhamdulillah, karier saya berjalan dengan baik, semua pelakon dan pengarah juga menyenangi persembahan saya. Saya berasa sangat bernasib baik jika dibandingkan dengan pelakon lain.

"Sekarang, barulah saya boleh berehat panjang selepas sibuk dengan lakonan dalam satu setengah tahun ini.

"Selepas ini, saya akan meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak untuk bercuti ke Jakarta selama empat hari. Saya akan bercuti seketika daripada lakonan dalam dua minggu," kata Zaefrul yang terpaksa menolak tawaran berlakon seperti teater muzikal Ibu Zain, beberapa drama dan dua buah filem.

Melalui perkahwinan Zaefrul dan Adelina, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Aliyana Elina, Adam Farhan dan Puteri Iman.

0 comments:

Post a Comment