IMPIANNYA untuk kembali mewarnai persada muzik tempatan tidak pernah padam. Meskipun Sarimah Ibrahim sudah mampu dilihat 'selesa' berada di dalam liga pengacaraan, dia tidak pernah meletakkan titik noktah terhadap karier nyanyian yang pernah bertapak dalam dirinya kira-kira sembilan tahun lalu.
Walaupun pernah mendapat kritikan ketika muncul dengan album sulungnya ketika itu, Sarimah yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik pada tahun 2000 ini tidak lemah semangat.
Setelah menyedari lagu popularnya dulu, Kini Kau Tiada dan Damai mula dimainkan semula di radio dan kembali mendapat sambutan, wanita berketurunan Melayu-Ireland ini mula terfikir untuk kembali melangkah ke bidang nyanyian.
"Masyarakat khususnya peminat muzik sudah semakin berfikiran terbuka. Apa yang saya perhatikan, penerimaan ramai terhadap muzik tempatan sudah semakin meningkat.
"Tidak seperti lapan tahun lalu ketika saya pertama kali hasilkan album. Pendengar tidak mampu menerima muzik yang saya ketengahkan ketika itu. Malah video muzik saya juga dikritik kononnya terlalu 'kebaratan'.
"Tetapi sejak tahun lalu, lagu saya kembali dimainkan semula di radio dan video muzik saya juga banyak disaksikan di Internet.
"Semua ini berlaku tanpa sebarang aktiviti promosi oleh sesiapa pun. Ini membuktikan pendengar sudah semakin bersikap terbuka dengan muzik tempatan," ujar Sarimah.
Menurutnya, dia mungkin akan tampil dengan sebuah single terlebih dahulu untuk melihat semula respon peminat terhadap bidang nyanyiannya sekali lagi.
"Semuanya masih dalam proses perbincangan. Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sama ada untuk terus tampil dengan album penuh atau single saja.
"Tetapi, mungkin single adalah yang terbaik untuk 'test' dulu pasaran dan lihat reaksi peminat memandangkan saya sudah lama tidak beraksi sebagai penyanyi, hanya muncul di kaca televisyen sebagai pengacara saja sejak lapan tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment