Elly Puas Bawa Watak Pontianak




Setelah sekian lama dikenali dengan watak gadis baik, tidak hairan mengapa Elly Mazlein begitu teruja sekali bila ditawarkan watak pontianak dalam karya terbaru pengarah Rashid Sibir, drama seram ‘Keliwon’.

“Ini pengalaman pertama saya memainkan watak hantu. Ia peluang untuk membuktikan yang saya boleh membawa watak lain. Saya memang seronok dan puas,” katanya.

“Untuk memainkan watak pontianak, saya banyak menggunakan pergerakan badan dan mengeluarkan bunyi yang menakutkan. Saya biasa tengok cerita hantu dan dari situ, saya belajar. Pengarah juga banyak membantu.

“Saya tak kisah jika ketika menjerit muka saya kelihatan buruk. Saya tak fikir soal cantik. Yang penting, sebagai pontianak saya perlu menakutkan orang

Dalam episod ‘Pontianak’, Elly memainkan watak Suri, seorang gadis kampung naïf yang dibunuh setelah dirogol. Dia kembali menuntut bela ke atas orang yang bertanggungjawab. Kepulangannya juga disebabkan kerana tidak bersedia meninggalkan teman lelakinya, lakonan Zed Zaidi.

Menurut Elly, sepanjang tempoh penggambaran di Rumah Melaka, FRIM, semuanya berjalan lancar, tidak ada sebarang gangguan.

Tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Elly gembira dengan perkembangan kariernya. Sebab itu soal kahwin masih belum terlintas dalam fikiran gadis berusia 28 tahun ini.

“Saya sudah lama menunggu peluang ini (berlakon), jadi bagi saya membuat keputusan untuk berkahwin tidak tepat. Saya ada alasan sendiri,” jelasnya.

0 comments:

Post a Comment