Leya bersama anak saudara Ashraf.
Kegembiraan aktres dan penyampai radio Hot FM Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leya, 26, makin bertambah apabila mengetahui dia dan suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin, 29, dijangka bakal menimang cahaya mata kembar pada Ogos ini.
Leya yang kini sedang hamil 15 minggu berkata doktor yang merawatnya mengesahkan dia mengandung bayi kembar kira-kira seminggu lalu.
“Waktu itu, saya berjumpa doktor dengan ditemani oleh Amani. Apabila mendapat tahu berita itu, saya berasa teruja lebih-lebih lagi sedang mengandungkan bayi pertama dan boleh dapat dua orang lagi.
“Memang gembira tidak terkata. Lepas itu, terus saya beritahu suami dan keluarga.
Apabila saya menyampaikan berita ini kepada suami, terus dia macam tak percaya dan terkedu seketika. Kemudian, dia tanya, serius ke? Selepas saya yakinkan dia, barulah dia gembira dan teruja.
“Keluarga saya juga sangat gembira termasuk nenek kami berdua, ibu saya dan ibu mertua. Mereka sangat teruja,” ulas Leya mengenai reaksinya dan keluarga apabila mengetahui berita gembira itu.
Ditanya tentang gen kembar yang dikurniakan kepada pasangan ini, Leya berkata gen tersebut diwarisi oleh keluarga sebelah suaminya.
“Di dalam keluarga sebelah suami saya memang ada keturunan kembar. Untuk bayi kami ini, kami belum tahu lagi sama ada bayi lelaki atau perempuan.
“Kami tak kisah jantina bayi ini asalkan mereka sihat dan dilahirkan dalam keadaan selamat, itu sudah memadai dan kami bersyukur seadanya,” ujar pelakon filem Mukhsin, Idola dan terbaru, Magika ini.
Bertanya mengenai keadaannya, Leya berkata dia tidak mengalami alahan namun berasa sedikit kurang selera makan.
“Alhamdulillah, saya tidak mengalami alahan, cuma tak lalu makan. Kalau dulu saya akan makan nasi hingga tambah dua kali tetapi sekarang makan nasi sepinggan pun tak boleh habis.
“Jadi, saya banyak meminum susu sama ada susu coklat, strawberi dan pelbagai perisa termasuk susu soya untuk menambah kalsium. Dalam masa yang sama, saya turut mengambil vitamin.
“Saya masih melakukan kerja seperti biasa. Malah kerja saya makin bertambah apabila saya perlu menggantikan tempat Tinie mengendalikan slot bersama Azura kerana dia bakal melangsungkan perkahwinannya pada 22 Februari ini.
“Namun, doktor kata apabila mengandung kembar, mood seorang wanita itu tidak menentu dan kesannya akan menjadi dua kali ganda lebih daripada biasa.
“Oleh sebab itu, suami saya terpaksa menahan karenah saya yang kadangkala boleh menjadi manja ini.
“Apabila membeli barang, suami juga sentiasa membuat pengiraan tentang apa yang perlu dan tidak untuk kandungan saya sekarang,” cerita Leya yang melabelkan kehidupannya bersama suami sebagai ‘very the lepak’.
Jelas Leya, dia tidak mahu terlalu memanjakan diri dan dua bayi yang dikandungkan. Oleh itu, Leya sentiasa belajar ‘survive’ dan mengetahui tentang apa yang terbaik untuk bayi-bayinya.
“Kami berdua sentiasa menyayangi antara satu sama lain namun tidak pernah lepas daripada bergurau secara kasar sekalipun.
“Bagaimanapun, saya sentiasa ingatkan diri sendiri di mana badan saya kini turut menjadi ‘rumah’ untuk dua orang.
“Jadi, saya mengambil langkah untuk kurang aktif. Namun, kadangkala sukar juga untuk sesuaikan diri dengan keadaan seperti ini misalnya apabila saya bangun daripada tidur, saya terlupa,” kata Leya.
Leya memilih untuk bersalin di Kuala Lumpur tetapi belum fikirkan di hospital mana.
Leya dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada Disember 2007.
0 comments:
Post a Comment