Roslin tak sabar


“Sebagai wanita baru bergelar isteri dalam tempoh beberapa hari, saya cuba belajar dan memberikan yang terbaik,” kata Faizah Mohamad, 32, yang diceraikan jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 34, selepas 12 hari melayari bahtera sebagai suami isteri.

Faizah yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat di Puchong, berkata bekas suaminya itu sebenarnya terburu-buru mengambil keputusan sedangkan kemelut melanda rumah tangga mereka boleh diselesaikan melalui perbincangan.

“Keluarga saya seolah-olah dihukum bersalah sedangkan tiada sebarang kenyataan daripada kami hingga kini.

“Peristiwa sedih itu juga menyebabkan ramai pihak salah anggap berikutan berita yang dilaporkan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat,” katanya yang menyifatkan keputusan Roslin menceraikannya selepas 12 hari bernikah sebagai aneh.

Menurut Faizah, dia tidak pernah memaksa Roslin memilihnya sebagai isteri selain mengharapkan masalah mereka diselesaikan secara baik tanpa dihakimi melalui media.

Dalam tempoh singkat bergelar suami isteri, katanya, dia dan Roslin tidak pernah bergaduh, malah mendakwa dia tidak diajak berbincang mengenai masalah dihadapi bekas suaminya itu.

Dia berkata, dakwaan Roslin bahawa dia tidak dilayan sempurna sebagai suami selain tidak dihormati isteri adalah tidak benar.

Faizah berkata, selepas bernikah dia banyak menghabiskan masa bersama Roslin walaupun kadangkala, bekas suaminya itu terpaksa keluar kerana urusan tugas.

“Jika timbul masalah sekalipun, ia boleh dibawa berbincang secara bersemuka dan bukan dipendam dalam hati.

“Sebagai suami dan ketua keluarga, dia seharusnya membimbing atau menegur saya jika ada perkara tidak disenangi.

“Tindakan terburu-buru melafazkan talak benar-benar membuat saya tergamam sedangkan saya masih menyayanginya,” katanya.

Faizah juga menyatakan tidak pernah terlintas di hatinya akan bergelar janda selepas 12 hari bergelar isteri.

Sejurus melafazkan cerai, katanya, Roslin tidak pernah menghubungi atau menghantar SMS kepadanya sehingga kini.

“Mujur jiran, saudara-mara dan rakan memahami masalah kami dan sentiasa memberikan sokongan. Walaupun masih bersedih, saya cuba bertenang dan menggunakan sisa kekuatan yang ada untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang sudah memfailkan perceraian itu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 20 Februari lalu.

Kes berkenaan akan didengar 23 Mac depan.

0 comments:

Post a Comment