Spekulasi ramai yang mengatakan pengacara sensasi Aznil Nawawi bakal kembali menjadi hos konsert mingguan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) nampaknya tidak tepat apabila pelakon dan pengacara, AC Mizal terus diberi tanggungjawab itu sekali lagi bagi mengendalikan program realiti popular itu.
Selain AC, Sarimah Ibrahim juga masih kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF.
AC ketika diminta mengulas tentang pemilihannya sekali lagi tahun ini berkata, peluang yang terus diberikan oleh Astro bagi menerajui AF7 akan diguna sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahannya ketika mengendalikan AF6 dulu.
Turut diperkenalkan pada sidang media itu ialah barisan tenaga pengajar bagi musim terbaru AF ini.
Selain mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal, tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Hashridz Murshim atau Acis selaku Pengarah Muzik.
Bagaimanapun, desas-desus yang mengatakan penyanyi tersohor dan juga isteri kepada Acis, Datuk Sheila Majid bakal dilantik sebagai Pengetua AF7 masih belum disahkan oleh pihak Astro yang hanya akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment