Amelina ziarah jenazah bapa



Bekas Ratu Dangdut, Amelina yang telah sekian lama 'menghilangkan diri' muncul hari ini di kampungnya halamannya di Labu dekat sini.

Kepulangan Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharifuddin, 35, ke rumahnya di Kampung Lambar, Labu bagi menziarahi bapanya, Amir Sharifuddin Abd. Rauf, 61, yang meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham bapanya meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini pada pukul 6.10 pagi ini kerana komplikasi jantung selepas dimasukkan ke wad hospital itu sejak Isnin lalu akibat sesak nafas.

Adik Amelina, Amir Hanaffy Amir, 31, berkata, bapanya mengalami masalah sesak nafas sejak Isnin lalu ketika menonton televisyen sebelum dikejarkan ke HTJ.

Menurutnya, ketika di HTJ, bapanya tidak sedarkan diri tetapi pada hari ketiga sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham memberi tindak balas kepada pelawat walaupun tidak boleh berkata-kata.

"Bagaimanapun pada pukul 6.10 pagi tadi, ketika saya dan seorang pembantu menjaganya, abah kelihatan tenang seolah-olah sedang tidur, bibirnya pucat dan tidak menunjukkan sebarang respons.

"Doktor memaklumkan abah mengalami kegagalan jantung dan telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui.

0 comments:

Post a Comment