Mas keluar hospital, pulang terus ke Tawau


Setelah seminggu ditahan di Wak Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur, bintang realiti Akademi Fantasia musim ke 2, Asma Ghani atau Mas akhirnya dibenarkan keluar pagi ini lebih kurang jam 11.50 pagi.

Mas yang berpakaian baju hitam dan berseluar jeans dilihat keluar dari wad yang terletak di Tingkat 1 tersebut bersama bapanya, Ghani@Ghani Jivie, 67 dan meninggalkan perkarangan hospital menerusi pintu belakang bangunan tersebut.

Mas, 29 tahun, tidak menunjukkan sebarang reaksi dan wajahnya tampak sedikit polos dan pucat diringi oleh seorang jururawat dan dua orang pengawal keselamatan sehingga ke lif.

Ibu tunggal kepada dua orang anak ini dikatakan mempunyai masalah jiwa minggu lepas setelah membuat kecoh dan meracau-racau di Balai Polis Pandan Indah.

Mas membuat satu laporan polis tanpa menandatangani laporan tersebut dan kemudiannya dimasukkan ke Wad Psikiatri Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) pada awal pagi Rabu lalu.

Kononnya tindakan Mas itu ada kaitan dengan masalah album yang asyik tertangguh. Namun Ketua Pegawai Eksekutif Maestro, Freddie Fernandez mahupun penerbit album berkenaan, Joe Wings menafikan dakwaan ini.

Hubungan cinta Mas dengan duda beranak tiga yang dipanggil Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd. Shahril, 36, juga menjadi salah satu sebab kenapa emosi Mas dikatakan tidak stabil.

Yang pasti, Mas sehingga saat ini tidak memberi izin kepada pihak hospital membenarkan Freddie mahupun Rock untuk menemuinya.

"Mas berada dalam keadaan sihat. Terima kasih kerana mengambil berat tentang dia. Kami akan bawa dia pulang ke Tawau secepat mungkin.

Ketenangan di kampung halaman diharap mampu memberi kedamaian pada Mas yang selama ini bagaikan menghadapi tekanan untuk terus hidup di bandar Kuala Lumpur yang penuh dengan cabaran.

Menurut sumber dari pihak Melodi TV3, ini adalah kali kedua Mas ditahan di Wad yang sama. Kali pertama ialah pada 4 Disember, 2007.

kredit:mstar

0 comments:

Post a Comment